Polis nafi pembantu rumah warga asing didera

Iklan
Tangkap layar video yang tular memaparkan seorang wanita warga asing memohon pertolongan kerana mendakwa didera majikannya.

JOHOR BAHRU - Polis menafikan seorang pembantu rumah warga Indonesia didera majikannya di Taman Pelangi dekat sini sebagaimana video tular di media sosial ketika ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, dakwaan wanita itu tidak benar selepas anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan menerima laporan daripada majikannya pada jam 10.48 malam Selasa.

"Suspek melarikan diri dari rumah pengadu pada jam 11.21 pagi Isnin di Taman Pelangi. Hasil siasatan mendapati suspek telah melarikan diri dengan sebuah beg beli belah warna biru dengan cara memanjat pagar di hadapan rumah," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Iklan
Iklan

Sebelum ini tular video memaparkan seorang wanita warga Indonesia bertemu seorang lelaki mendakwa baharu dua minggu bekerja di Johor sebagai pembantu rumah dan telah dipukul serta tidak diberi makan oleh majikannya.

Dalam video berkenaan, lelaki terbabit mendakwa membawa wanita itu makan sebelum membuat laporan polis dan membawanya ke Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru di sini.

Iklan

Raub berkata, ketika melarikan diri suspek memakai baju T warna hitam berbelang kuning pada bahagian dada dan berseluar merah.

Katanya, pihak polis sedang giat memburu suspek bagi membantu siasatan dan pada masa sama menafikan dakwaan wanita itu didera.

Iklan

Sementara itu, beliau berkata, pada jam 9.43 pagi Rabu anggota IPD Johor Bahru Selatan telah mengesan empat video berdurasi 12 sehingga 30 saat dan satu kenyataan yang tular sejak Selasa mendakwa suspek didera.

"Video tersebut memaparkan seorang lelaki warga tempatan dan seorang wanita warga asing berusia 31 tahun memberi kenyataan dirinya telah didera majikannya semasa bekerja sebagai pembantu rumah di Taman Pelangi," katanya.

Mengulas mengenai dakwaan lelaki terbabit membawa suspek membuat laporan polis, Raub berkata, laporan yang dibuat wanita itu berkenaan kehilangan pasportnya dan bukan kerana didera majikannya.