Pemberian khas RM300 juta bukti Sabah di landasan betul - Hajiji

Iklan
Hajiji Noor. - Foto Bernama

KOTA KINABALU - Peningkatan pemberian khas kepada RM300 juta daripada Kerajaan Persekutuan adalah petunjuk jelas bahawa kerajaan negeri kini berada di landasan betul ke arah mendapatkan hak Sabah sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Sabah menyambut baik keputusan Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof semalam.

Iklan
Iklan

"Ini adalah penyelesaian sementara dan seperti yang disebutkan oleh Fadillah, rundingan masih diteruskan dengan jawatankuasa berasingan bagi menentukan serta memuktamadkan formula untuk pemberian khas kepada kedua-dua negeri di Kepulauan Borneo dalam tempoh setahun,” menurutnya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau mengulangi pendirian kerajaan negeri bahawa Sabah tidak pernah melepaskan hak 40 peratus hasil bersih dikutip oleh Kerajaan Persekutuan dan akan terus berjuang untuk mendapatkan pemberian khas seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Iklan

"Perkara 112D (Perlembagaan Persekutuan) memperuntuk formula dan semakan semula hak 40 peratus ke atas hasil bersih yang diperoleh Persekutuan yang berasal dari Sabah," katanya.

Selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MA63 itu semalam, Fadillah berkata, Sabah dan Sarawak akan menerima pemberian khas sebanyak RM300 juta daripada Kerajaan Persekutuan pada tahun ini.

Ini menyaksikan peningkatan sebanyak RM40 juta kepada Sabah berbanding jumlah RM260 juta yang diumumkan oleh Putrajaya pada Januari lepas, yang akan dibayar secepat mungkin, kata Fadillah yang juga Pengerusi Jawatankuasa MA63.

Iklan

Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Datuk Peter Anthony pula berharap pemberian khas itu akan digunakan sebaik mungkin bagi mengatasi masalah infrastruktur dan kemudahan asas di Sabah.

Beliau berkata, sudah tiba masanya kerajaan negeri menyelesaikan secara agresif masalah yang dihadapi Sabah antaranya jalan raya rosak, bekalan air dan elektrik yang sudah sekian lama menghantui penduduk serta memerlukan jalan penyelesaian menyeluruh dirancang dengan segera.

Katanya, pemberian khas itu membuktikan kesungguhan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menjaga kepentingan Sabah serta Sarawak, dan pihaknya yakin Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar mampu menyelesaikan tuntutan negeri berkenaan dalam MA63.

"Begitu banyak sekali inisiatif yang telah dilakukan oleh Perdana Menteri untuk kebaikan Sabah dan juga Sarawak. Peruntukan RM300 juta yang diumumkan adalah penyelesaian bersifat interim, saya yakin usaha kita untuk dapatkan 40 peratus hasil yang dikutip Kerajaan Persekutuan kini berada di landasan betul," katanya.

Bagi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, peruntukan itu merupakan langkah tepat serta mampu memberikan implikasi positif terhadap perkembangan ekonomi dan sosial masyarakat Sabah.

"Ini terutamanya menyelesaikan isu-isu pembangunan infrastruktur asas, bekalan air bersih, elektrik, jalan raya yang kritikal selain pembangunan lain yang jauh ketinggalan berbanding negeri-negeri lain,” katanya yang turut memaklumkan bahawa UMNO Sabah menyambut baik peruntukan itu.

Beliau juga berharap kerajaan negeri atau jabatan dan agensi kerajaan yang diberikan kuasa supaya menyelaras peruntukan itu secara efisien, cepat dan tepat bagi mengurangkan birokrasi kerana ia akan membantutkan usaha membangunkan Sabah. - Bernama.