TONGGAK baharu Barcelona, Ilkay Gundogan menjanjikan pengalaman Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila menyahut cabaran baharu di La Liga.
Malah Gundogan berkata, dia mempunyai banyak perkara untuk ditawarkan terutama bahagian tengah kepada juara La Liga itu tersebut.
"Mereka luar biasa, Gavi, Pedri, Luuk De Jong. Saya datang dengan lebih banyak pengalaman kerana hidup dan kerjaya saya tidak mudah dan percaya pengalaman boleh banyak membantu.
"Mereka adalah kumpulan pemain muda yang sangat berbakat yang melakukan perkara yang lebih baik daripada saya. Jika saya boleh memberi mereka sekurang-kurangnya satu peratus, saya akan gembira.
"Walaupun saya lebih tua, saya bersedia untuk menghadapi cabaran dan masih banyak yang perlu saya buktikan,” kata Gundogan.
Pemain Jerman, 32, itu menandatangani kontrak dua tahun bersama Barcelona selepas keluar dari Manchester City.
Dia mengetuai kelab Inggeris itu memenangi treble EPL, Piala FA dan Liga Juara-Juara musim lalu.
Pencapaian itu menyaksikan dia menamatkan tempoh tujuh tahun membanggakan di England dengan menjulang 12 trofi utama secara keseluruhan.
Setelah bekerja di bawah bekas pengurus Barca, Pep Guardiola di City, Gundogan menjangkakan peralihan yang mudah untuk kehidupan baharu bersama pengurus Xavi Hernandez.
"Gayanya hampir sama dengan apa yang saya mainkan di City.
"Guardiola dan Xavi sangat serupa. Saya merasakan hubungan dengan Xavi dari saat pertama kami bercakap. Apabila saya bercakap dengannya, saya tahu mereka berada di landasan betul.
"Ia adalah pasukan yang luar biasa dan peluang untuk dapat bermain dalam liga yang berbeza dan di negara yang berbeza,” katanya.