PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) digesa mengambil tindakan lebih proaktif berkenaan mutu pengadilan Liga Malaysia (Liga-M) yang tidak hanya menimbulkan rungutan dalam kalangan pengendali pasukan tetapi juga para penyokong.
Malah tegas Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa, sekiranya badan induk bola sepak negara itu masih tidak memperkemaskan kualiti mutu pengadilan dibimbangi akan menjejaskan Liga-M yang merupakan produk liga tempatan negara.
Tegasnya, perkara itu juga perlu diberikan perhatian menjelang perlawanan akhir berintensi tinggi Piala FA, Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Kuala Lumpur City (KL) FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Sabtu ini.
"Apabila ramai pengendali pasukan Liga Super telah mula mempertikaikan mengenai mutu pengadilan itu menunjukkan terdapat sesuatu yang tidak kena dengan kualiti para pegawai pertandingan liga utama negara ini.
"Rungutan mengenai integriti, kebolehpercayaan terhadap para pegawai yang mengendalikan perlawanan berdasarkan undang-undang yang termaktub inilah yang menimbulkan persoalan.
Pengendali Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner sebelum ini mempertikaikan beberapa keputusan pengadil ketika pasukannya terikat tanpa jaringan ketika menentang Kuala Lumpur City FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras pada Ahad.
Pada masa sama Mohd Sadek juga menegaskan rungutan mengenai mutu pengadilan tidak hanya dalam kalangan pengendali pasukan Liga Super sejak kebelakangan ini.
Sebaliknya tambahnya, rungutan juga turut melibatkan para penyokong pasukan yang hadir ke stadium dan menonton di rumah atau media sosial.
Malah lebih parah tegas Sadek apabila terdapat para penyokong yang merakam insiden tertentu yang sepatutnya dikenakan tindakan sebaliknya terlepas hukuman oleh pengadil semasa perlawanan.
"Jika kita tengok baru-baru ini tular insiden terjahan pemain Kuching City FC ke atas pemain Perak FC di Stadium Negeri, Kuching, dan saya percaya semua orang dalam stadium nampak terjahan keras terhadap Mohd Syukri Baharun pada minit ke-88.
"Mungkin pengadil perlawanan pada malam itu terlepas pandang insiden berkenaan, namun apabila rakaman tular kerap diulang-ulang secara tidak langsung memberi persepsi terhadap mutu pengadilan.
"Paling malang apabila satu dunia akan melihat perkara ini apabila klip video tular sampai ke luar negara itu pula diedit-edit segelintir pihak tidak bertanggungjawab," katanya.
Sementara itu, Perak FC ketika dihubungi Sukan Sinar mengesahkan akan mengemukakan bantahan kepada FAM dan MFL supaya tindakan tegas diambil berhubung insiden ketika aksi menentang Kuching City FC di Stadium Negeri Kuching pada Ahad lalu.
Dalam masa sama Sadek turut menyarankan supaya FAM memperkasakan semula sistem pembangunan pengadil negara ini bagi melahirkan barisan pegawai yang lebih berkualiti.
"Ya, saya tidak nafikan sememangnya terdapat para pengadil tempatan yang mendapat pengiktirafan apabila mendapat penghormatan mengendalikan beberapa perlawanan di luar negara.
"Namun untuk pembangunan pengadil pula mungkin beberapa kriteria perlu disemak semula seperti latihan, elaun dan ganjaran bagi membolehkan mereka lebih fokus kepada tugasan.
"Malah bayaran elaun atau ganjaran juga perlu dibayar tepat mengikut masa ditetapkan tanpa berlaku tunggakan seperti dialami para pemain beberapa kelab Liga Super ketika ini,” ujarnya.
PIALA FA
FINAL
SABTU (22 JULAI)
JDT lwn KL City FC
(Stdm Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, 9 malam)