KUALA Lumpur (KL) City FC enggan menyerah awal dan berjanji akan memberikan tentangan sengit kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) biarpun sedar tugas getir menanti mereka pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Sabtu.
Pengendali KL City, Bojan Hodak berkata, mereka turut akan hadir ke stadium keramat JDT itu dengan kekuatan penuh selepas semua pemain bebas dari kecederaan.
Malah Hodak juga percaya para pemainnya akan dapat menampilkan aksi yang luar biasa sekali gus cuba melakar kejutan ke atas juara bertahan itu.
"Untuk perlawanan akhir, kali terakhir kami bertemu dan menang ke atas mereka adalah pada 2021 (Piala Malaysia). Tetapi, ia tidak boleh menjadi ukuran kerana mereka kekal mempunyai pasukan yang kuat.
"Kami pula kehilangan beberapa pemain kerana berdepan kesukaran untuk mengekalkan mereka kerana masalah kewangan. Namun, dengan skuad yang ada ini kami akan memberikan yang terbaik dalam perlawanan akhir itu nanti,” katanya.
KL City dijangka sukar untuk mencipta kejutan berdasarkan dua rekod pertemuan terkini menentang JDT yang menyaksikan mereka tewas 0-3 pada Mac lalu di Stadium Kuala Lumpur, Cheras sebelum dibelasah 1-6 di Stadium Sultan Ibrahim.
Malah, kemenangan di Piala Malaysia ke atas JDT pada 2021 merupakan kemenangan terakhir dilakar skuad ibu kota itu ke atas Harimau Selatan.
Dalam pada itu, Kapten KL City, Paulo Josue percaya ia akan menjadi perlawanan yang sukar berdasarkan reputasi semasa juara sembilan kali Liga Super itu.
"Mereka belum pernah kalah musim ini. Sudah tentu satu hari nanti mereka akan tewas dan saya harap KL City akan beraksi dalam perlawanan akhir itu nanti dan mencipta kejutan.
"Perlawanan akhir ini berbeza berbanding Liga Super atau perlawanan yang lain. Apa yang penting kami perlu bersedia,” katanya.
PIALA FA
SABTU (22 JULAI)
JDT lwn Kuala Lumpur City
(Stdm Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, 9 malam)