Hayati titah Raja-Raja Melayu

Iklan
Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Ma'al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Rabu. - Foto Bernama

SHAH ALAM - Sempena sambutan Maal Hijrah, Raja-Raja Melayu menitahkan beberapa perkara kepada rakyat sebagai peringatan demi menjaga keamanan dan kemakmuran negara.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan rakyat supaya menjauhi budaya fitnah, hasad dengki dan sikap prasangka.

Iklan
Iklan

Ini kerana titah Seri Paduka, amalan sempit dan negatif itu tidak mendatangkan faedah kepada bangsa serta negara.

"Mengambil ibrah daripada peristiwa hijrah, beta ingin mengajak seluruh rakyat bersatu hati dalam membentuk sebuah masyarakat yang lembut dalam berbicara, halus dalam berpesan, harmoni dalam ikatan persaudaraan, jujur dalam pekerjaan, amanah dalam menggalas tugas dan gagah perkasa dalam mencipta kejayaan,” titah Seri Paduka.

Iklan

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pula menitipkan doa agar umat Islam di negara ini melakukan penghijrahan minda daripada budaya yang memilih untuk bermusuh kepada berkawan.

Doa baginda sempena Sambutan Maal Hijrah 1445 Peringkat Negeri Perak pada Rabu memohon agar budaya yang cenderung bersengketa berubah kepada berdamai, berdendam kepada bermaaf-maafan, menabur janji kepada mengotakan kata dan mencari kelemahan kepada menggabungkan kekuatan.

Iklan

Sementara itu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah bahawa sentimen mementingkan diri, semangat berpuak-puak dan bermusuhan disebabkan perbezaan fahaman politik kepartian tidak sepatutnya berlaku atau terus berlaku di negeri ini.

Baginda turut mendoakan supaya Terengganu mempunyai masyarakat yang mengutamakan kerukunan, kedamaian serta kesepakatan dalam menghadapi pelbagai cabaran hidup mendatang sekali gus melahirkan umat Islam yang benar-benar bertakwa kepada ALLAH SWT.

Bagi Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, baginda tidak perkenan dengan segelintir golongan yang tidak bertanggungjawab menggunakan masjid sebagai tempat berpolitik sehingga menimbulkan ketidakharmonian dan perpecahan dalam kalangan umat Islam.

Tuanku juga menitahkan agar umat Islam tidak sama sekali membangkitkan isu yang boleh menggugat perpaduan ummah.

Baginda bertitah, umat Islam di negeri Kedah juga untuk sentiasa hidup dalam bersatu-padu dan menjaga keharmonian

Pesanan Raja-Raja Melayu itu tidak boleh dipandang remeh kerana seperti yang diketahui ramai situasi politik negara ketika ini agak tegang dengan beberapa isu yang memerlukan perubahan sikap pemimpin dan rakyat.

Isu-isu sensitif membabitkan 3R (agama, kaum dan institusi diraja), tidak seharusnya dijadikan modal kempen menjelang pilihan raya negeri (PRN) bagi menjaga keharmonian dan kemakmuran negara.