ALOR SETAR - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendakwa Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah mengetahui tentang isu kecurian unsur nadir bumi (REE) di kawasan Bukit Enggang, Sik, Kedah.
Saiffudin berkata, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menafikan MBI terlibat ataupun ada kena mengena dengan kecurian mineral ketika isu itu dibangkitkan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).
Bagaimanapun, kata beliau, MBI sepatutnya mengetahui perkara terbabit memandangkan perbadanan itu yang mengambil sekumpulan pekerja warga China untuk melakukan eksplorasi di kawasan tersebut.
"Malam ini, saya nak sebut bahawa MBI tahu betul-betul dalam kompartmen atau kawasan mereka adalah tempat di mana berlaku kecurian REE besar-besaran dan ada dalam pengetahuan mereka. Sekurang-kurangnya sudah ada dua fasa tangkapan. Yang pertama, lebih 50 orang (pada) awal tahun.
"Siapa tangkap? Jabatan Perhutanan, Jabatan Mineral sehingga Jabatan Imigresen tangkap. Tangkapan berlaku dan kemudiannya disiasat dan saya masih kumpul bukti. Yang ditangkap itu bukan dituduh mencuri, tetapi menceroboh hutan simpan," katanya.
Saifuddin berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Madani Dewan Undangan Negeri (DUN) Suka Menanti, di Padang Awam Taman Wira Mergong di sini malam Rabu.
Dakwa Saifuddin, Muhammad Sanusi pernah menulis surat kepada Menteri Dalam Negeri sebelum ini, Datuk Seri Hamzah Zainuddin untuk meminta 10 jurutera dan 21 pekerja mahir dari China dibawa masuk ke negara ini, namun surat daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MBI pula mengatakan 21 yang ingin dibawa masuk adalah pekerja am.
Sehubungan itu, Saifuddin turut mempersoalkan kemasukan pekerja am terlibat, memandangkan sebahagian daripada mereka dibawa masuk menggunakan permit untuk rawatan kesihatan dan meminta Muhammad Sanusi mendedahkan hospital yang memberi rawatan kepada pihak terbabit.
"Bila saya lihat (surat) ada dua nama yang sangat meragukan. Dari negara China, dia jadi perunding (tetapi) dia juga konsultan kepada projek REE ini," katanya.
Susulan itu, Saifuddin meminta Muhammad Sanusi menjelaskan kedudukan dua warga China terlibat, yang mana Pas Lawatan Ikhtisas mereka menunjukkan majikan mereka adalah MBI dan diambil bekerja oleh perbadanan itu sebagai pakar profesional bagi mengkaji tapak REE di kawasan berkenaan.
"Mereka ini kepakaran apa? Berapa lama mereka ikat kontrak bekerja dengan MBI? Berapa MBI bayar? Apa tugas kerja dan deskripsi kerja mereka? Tanggungjawab mereka apa? Sebab salah seorang daripadanya adalah orang yang ditangkap menceroboh hutan simpan," dakwanya.