PDRM fokus tingkat perkhidmatan, integriti - KPN

Iklan
Razarudin

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menetapkan dua fokus utama yang perlu digerakkan secara menyeluruh dengan pelaksanaan agresif dan pemantauan secara berterusan di setiap peringkat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, fokus pertama adalah perkhidmatan bertunjangkan integriti dan tata kelola yang baik, manakala fokus kedua adalah mendukung dasar-dasar kerajaan ke arah kesejahteraan masyarakat.

Iklan
Iklan

"Aspek integriti kekal menjadi keutamaan dan fundamental yang perlu menjadi budaya seluruh warga pasukan.

"Kita perlu menjiwai, menghayati dan membudayakan nilai integriti dalam setiap aspek penugasan," katanya dalam ucapan ketika perhimpunan bulanan di Bukit Aman pada Khamis.

Iklan

Razarudin berkata, integriti yang utuh akan menjadi benteng kepada PDRM daripada terjebak melakukan kemungkaran, sekali gus dapat mengecilkan dan menutup segala ruang melakukan rasuah.

"Saya ingin mengingatkan diri saya dan warga PDRM agar sentiasa mencerminkan nilai integriti sama ada melalui penampilan, sikap atau sebarang keputusan yang diambil.

Iklan

"Kita telah ditakdirkan untuk menjadi seorang pegawai polis dan ia merupakan satu profesion yang amat mulia.

"Kita diberi peluang untuk berjihad di jalan ALLAH SWT melalui tanggungjawab hisbah kita sebagai khalifah di muka bumi ini, untuk menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar," katanya.

Razarudin berkata, warga PDRM perlu menghargai serta memelihara profesion sebagai anggota dan pegawai polis dengan sebaik-baiknya.

"Jangan pula kita sendiri memusnahkannya dengan menggadai maruah diri, bersekongkol dengan sindiket-sindiket penipuan, perjudian haram, pelacuran, kongsi gelap serta dadah, walaupun sudah jelas hukumnya di sisi agama.

"Ingatlah bahawa kita bekerja bukan semata-mata untuk mendapatkan gaji bagi kelangsungan hidup, namun kita perlu mencari keberkatan dalam rezeki yang halal," katanya.

Mengulas lanjut Razarudin berkata, pemerhatian dan penilaian masyarakat terhadap PDRM pastinya berkisar kepada kebolehupayaan membendung jenayah, menyiasat, menangkap dan mendakwa penjenayah.

"Ini termasuklah penguatkuasaan undang-undang dalam penyiasatan dan pendakwaan jenayah yang perlu dilaksanakan dengan sebijaknya," katanya.

Beliau berkata, kualiti maklumat risikan jenayah menentukan hasil operasi dan yang paling utama adalah untuk mendakwa pesalah di mahkamah.

"Justeru, kita harus memperkasakan kredibiliti, kecekapan dan kemahiran pegawai-pegawai kita bagi memastikan kualiti 'crime prevention' dan 'crime suppression' pada tahap tertinggi.

"Saya juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya terdapat mana-mana pihak yang mengamalkan birokrasi dan ‘pilih bulu’ dalam perjalanan siasatan," tegasnya.