ALOR SETAR - Anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim dianugerahkan tokoh wira muda negara oleh Pemuda Pas Kedah, sempena Muktamar Pemuda Pas Kedah ke-53.
Ketua Penerangan Pemuda Pas Kedah, Abdul Hadi Omar berkata, anugerah itu diberikan sebagai menghargai pengorbanan dan keberanian Allahyarham ketika menjalankan tugas sehingga mengorbankan dirinya.
Menurutnya, anugerah itu diserahkan kepada bapa Muhammad Adib oleh Ketua Pemuda Pas Kedah, Nurul Amin Hamid ketika mengunjungi Mohd Kassim di rumah keluarga itu, di Kampung Tebengau Tepi Laut, Kuala Kedah.
"Kami menyampaikan sendiri anugerah itu sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan besar Allahyarham ketika menjalankan tugas demi negara,” katanya.
Abdul Hadi berkata, pihaknya berharap rakyat Malaysia khususnya kerajaan tidak memandang sepi tragedi kehilangan nyawa anggota bomba itu ketika rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25 pada November tahun lalu.
"Kami harap keadilan akan berpihak kepada Allahyarham Muhammad Adib yang kini dalam prosiding inkues ditetapkan mahkamah. Kami juga berharap inkues berjalan lancar dan adil tanpa wujud ‘double standard’ dari pihak terlibat,” katanya.
Menurutnya, pihaknya percaya seluruh rakyat Malaysia merasai kesedihan atas apa yang berlaku terhadap Allahyarham Muhammad Adib.
"Kami percaya rakyat Malaysia juga menganggap Allayarham sebagai wira negara atas pengorbanan yang dilakukan ketika bertugas,” katanya.
Abdul Hadi turut mengajak seluruh rakyat Malaysia mendoakan keadilan akan berpihak kepada keluarga anak jati Kedah ini, sempena bulan Ramadan yang mulia.
Prosiding inkues bagi mengenal pasti punca kematian Allahyarham Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, bermula pada 11 Februari lalu.
Allahyarham parah selepas diserang dan dipukul perusuh dalam kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, 27 November lalu.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember, di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa.