Pinjam Volkswagen sepupu buat 'ulat' di KLIA 2

Iklan
JPJ menahan seorang pemandu yang menggunakan kereta jenis Volkswagen Jetta di KLIA 2, Sepang pada Selasa lalu untuk khidmat kereta sewa haram atau 'ulat'. - Foto JPJ Selangor

SEPANG - Malang berganda buat seorang lelaki apabila bukan sahaja ditahan, malah kereta jenis Volkswagen Jetta yang dipinjamnya untuk menjalankan kegiatan kereta sewa haram atau 'ulat' di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) di sini, disita pada Selasa.

Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, pemandu lelaki berusia 49 tahun itu ditahan hasil intipan dan pemantauan sepasukan anggota Stesen Penguatkuasa KLIA.

Iklan
Iklan

"Siasatan awal mendapati pemandu itu telah memujuk, merayu dengan menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada seorang penumpang tempatan dari Terminal 2, KLIA ke Terminal 1 KLIA.

"Pemandu itu mengenakan kadar tambang RM40 dan penumpang akan membayarnya apabila tiba di destinasi," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Iklan

Kata Ahmad Kamarunzaman, pihaknya kemudian bertindak menyita kereta jenis Volkswagen Jetta yang diguna lelaki terbabit selepas dipinjam daripada sepupunya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang awam agar menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah sama ada melalui kaunter perkhidmatan yang disediakan di KLIA, KLIA 2 ataupun membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing.

Iklan

Jelasnya, mana-mana yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

"Sesiapa yang bersubahat melakukan aktiviti ‘ulat’ ini juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1) di bawah akta yang sama," ujarnya.

Tambah beliau, penguatkuasaan akan dilaksanakan secara berterusan dari semasa ke semasa dan tindakan tegas akan diambil ke atas pemandu serta pemilik kenderaan yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen ini.

"Sebarang aduan trafik, orang awam boleh menyalurkan kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau platform aplikasi e-aduan@JPJ beserta butiran pengadu dan butiran aduan," katanya.