KLANG - Kekurangan bekalan telur dan ayam dalam negara semakin pulih susulan langkah berterusan diambil kerajaan termasuk kerjasama pemain industri dan persatuan penternak.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, bahkan terdapat tempat yang mampu menurunkan harga ayam lebih rendah.
"Ada tempat harga ayam itu telah turun dan ini adalah usaha gigih kita dan (pihak kementerian juga) selalu berdialog dengan persatuan penternak.
"Kita juga harap tak ada peperangan baharu (berlaku) dan sebagainya yang boleh menjejaskan import jagung bijiran serta soya.
"Sebab kita tahu jagung bijirin kita ini baru di peringkat permulaan ditanam di sini," katanya ditemui selepas merasmikan bangunan Pejabat Pertubuhan Kawasan (PPK) Klang di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, pihaknya juga memberi jaminan bekalan beras negara mencukupi selain memastikan harga beras kekal pada paras rendah.
"Ya memang ada berlaku kekurangan beras tempatan kerana kita tahu keadaan cuaca yang begitu tidak sesuai untuk padi pada musim yang lepas.
"Pengeluaran beras tempatan itu memang berlaku sedikit kekurangan tapi bekalan beras kita yakin ia mencukupi.
"Kita juga harap kepada pengilang beras sebagainya kalau ada stok (beras) mesti keluarkan sekarang supaya ia ada di mana-mana tempat," katanya.
Selain itu, Mohamad berkata, harga beras tempatan akan terus dikekalkan serendah RM2.60 sekilogram dan beras import dijual pada harga bermula RM2.80.