i-Suri diperluas kepada orang asli, Orang Asal Sabah Sarawak

Iklan
Dr Wan Azizah Wan Ismail

KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kumpulan sasar yang layak memohon i-Suri akan diperluas kepada masyarakat orang asli dan Orang Asal Sabah dan Sarawak.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, pihaknya akan memanjangkan penyelarasan daftar pemohon program berkenaan dengan agensi bertanggungjawab termasuk Jabatan Kemajuan orang asli (Jakoa) untuk mendapatkan senarai mereka yang layak.

Iklan
Iklan

"Kita ambil maklum bahawa pihak orang asli dan mungkin Orang Asal Sabah dan Sarawak memerlukan jaringan ini, kalau boleh kita sama-sama selaraskan dengan data, data itu kita mesti adakan pemutihan juga kerana ada pertindihan banyak.

"Ideanya baik, tetapi sebab (dana) terhad kita kena fikir mana keperluannya,” katanya pada persidangan Dewan Negara, di sini, hari ini.

Iklan

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Senator Datuk Isa Ab Hamid yang ingin tahu sama ada daftar pemohon i-Suri akan diperluas kepada masyarakat orang asli yang tidak termasuk dalam senarai e-Kasih yang digunakan kerajaan bagi menentukan pemohon yang layak bagi program itu.

Sementara itu, menjawab soalan asal Senator Asmak Husin mengenai pencapaian program berkenaan, Dr Wan Azizah menarik perhatian anggota Dewan Negara bahawa sasaran pendaftaran 100,000 suri rumah dan wanita di bawah program yang dilancarkan pada Ogos tahun lepas, kini telah tercapai.

Iklan

Malah, beliau berkata sehingga 30 April, jumlah mereka yang mendaftar melebihi sasaran iaitu sebanyak 107, 619 orang.

Terdapat tiga fasa pelaksanaan program berkenaan iaitu caruman secara sukarela dengan insentif kerajaan melalui sumbangan ke akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Fasa kedua ialah caruman secara sukarela dengan insentif kerajaan melalui sumbangan ke akaun KWSP dan perluasan perlindungan sosial kepada suri rumah di bawah kendalian Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

"Fasa ketiga pula caruman wajib suami melalui potongan dua peratus caruman KWSP kepada isteri atau suri rumah,” katanya.

Tambah beliau, bagi fasa ketiga, draf pindaan Akta KWSP 1991 telah disediakan dan dijangka dibentang di Parlimen, Julai ini dan pelaksanaannya dijangka bermula pada suku ketiga tahun hadapan. - Bernama