AKTOR Fikry Ibrahim mengingatkan semua pihak agar tidak bertindak keterlaluan termasuk menghina orang lain menjelang pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.
Tidak menyentuh mana-mana nama, pelakon berusia 29 tahun itu menasihatkan semua pihak agar melakukan cerminan pada diri sendiri sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan.
"Saya ada masalah dengan pemikiran segelintir pihak. Kalau kita buka media sosial, ada sahaja hinaan atau kata-kata negatif yang dilemparkan.
"Sebagai rakyat Malaysia, kita harus berfikiran matang. Kena refleksi diri, insya-ALLAH negara ini akan jadi lebih baik,” katanya selepas majlis pelancaran filem pertama lakonannya, Rahsia di Dadi Cinema, Pavillion Bukit Bintang baru-baru ini.
Pemilik nama lengkap Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim yang sering membuat jenaka parodi berkaitan politik itu mengakui mengambil tahu perihal semasa, namun ia tidak menyebabkannya melewati sempadan termasuk mengutuk sesiapa.
"Sepatutnya kalau buka media sosial dan mana-mana orang yang kita tak suka itu, kita abaikan sahaja tetapi saya tak tahu keberanian apa yang ada sehingga seseorang itu sanggup menghina orang lain, lebih-lebih lagi sekiranya mereka tidak sependapat.
"Tidak kiralah sama ada ahli agama, atau tokoh negara, janganlah sampai menghina sebab perbuatan itu menjadi contoh kepada masyarakat.
Pemimpin adalah cerminan dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Fikry turut menggalakkan pengundi agar menunaikan tanggungjawab pulang mengundi pada PRN nanti.
Ujar anak kelahiran Jitra, Kedah itu, dia juga akan pulang ke kampung halaman untuk mengundi.
"Ini kali ketiga saya akan mengundi.
Anda nak undi siapa pun tak kisah tapi baliklah mengundi.
Tunaikan tanggungjawab kepada negara.
Itu saluran demokrasi untuk kita tentukan masa depan.
Saya anggap apa pun politikus buat, pasti ada sinar yang baik.
"Mungkin segelintir mereka masih ada yang berhati murni dan berniat berkhidmat untuk rakyat,” katanya.
Sementara itu, Fikry bakal tampil dengan filem Rahsia yang merupakan versi reboot kepada filem berjudul sama dan bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 10 Ogos ini.
Filem seram ikonik arahan Othman Hafsham yang berjaya melakar fenomena suatu masa dahulu itu kini diarahkan anaknya, Shamyl Othman.
Selain Fikry, Rahsia turut dijayakan Eman Manan, Marsha Milan, Rashidi Ishak, Qistina Raisah, Syed Ali Murtadha, Mislina Mustaffa, Aloy Paradoks dan Nabil Zakaria, selain penampilan istimewa Othman dan Susan Lankester.