Penduduk berdepan kesukaran jambatan runtuh

Iklan
Inisiatif JPKK yang menyediakan perkhidmatan bot ke kawasan perkuburan selepas jambatan runtuh pada 2021.

TEMERLOH -"Terpaksa naik bot nak ke seberang, kalau ikut jalan darat jauh. Dulu ada jambatan mudah, sekejap saja sampai ke kubur."

Itu antara luahan penduduk di Kampung Tanjung Kerayong dekat Mentakab di sini yang menghadapi kesukaran untuk ke tanah perkuburan selepas jambatan di kampung itu runtuh.

Iklan
Iklan

Jambatan sepanjang kira-kira 50 meter itu tidak dapat digunakan oleh penduduk selepas ia runtuh akibat kayu yang hanyut merempuh tiang dan gelegar jambatan tersebut semasa banjir 2021 lalu.

Jambatan konkrit yang runtuh akibat banjir pada 2021 menyukarkan penduduk di Kampung Tanjung Kerayong dekat Mentakab.

Selain urusan kematian, jambatan itu digunakan penduduk untuk membawa keluar hasil pertanian selain menghubungkan empat kampung berhampiran iaitu Kampung Mambang Berulang, Kampung Gantok, Kampung Raja dan Kampung Sungai Dingin.

Iklan

Situasi itu menimbulkan kesukaran buat lebih 1,000 penduduk kampung tersebut yang amat berharap supaya jambatan baharu dapat dibina dalam tempoh terdekat.

Alternatif lain penduduk terpaksa mengguna jalan jauh lebih tujuh kilometer melalui Kampung Gantok berbanding hanya beberapa minit untuk ke kawasan perkuburan jika menggunakan jambatan.

Iklan

Bagi Fauzi Abdul Rahman, 56, sejak jambatan itu runtuh banyak urusan penduduk terjejas dan menimbulkan kesukaran buat mereka.

Fauzi

"Dulu ada jambatan ini, mudah dan selesa. Nak ke kubur sekejap sahaja sampai. Nasib baik ada juga bot, kalau tak memang jauh juga guna jalan lain. Kalau nak bawa hasil kebun sekarang pun makan masa berbanding dulu," ujar Fauzi.

Sementara itu, wakil Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Abdullah Khaidir Romli berkata, masalah berkenaan perlu segera diatasi demi kemudahan buat penduduk.

Abdullah

"Memang kami sangat berharap pihak kerajaan dapat mengambil tindakan segera kerana ia kemudahan buat rakyat.

"Buat masa ini, JPKK mengambil inisiatif sendiri menyediakan perkhidmatan bot untuk pergi ke kawasan perkuburan selain penduduk menggunakan bot sendiri," katanya yang memaklumkan jambatan itu dibina pada 2000.

Penduduk menggunakan khidmat bot yang disediakan oleh JPKK untuk ke kawasan perkuburan selepas jambatan di kampung itu runtuh.

Nasib penduduk di kampung tersebut turut mendapat perhatian sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Membantu Rakyat Temerloh.

Pengerusinya, Datuk Seri Alimudin Sawal menggesa supaya kerajaan dapat menyegerakan pembinaan jambatan baharu di kampung itu.

"Sampai bila penduduk nak tunggu, kalau tidak dapat bina jambatan konkrit yang mungkin kosnya tinggi, alternatif lain seperti jambatan gantung, kos lebih rendah demi kegunaan penduduk," tambah beliau.