SHAH ALAM - Sebanyak 73.4 peratus pengundi di Selangor mempunyai persepsi positif terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menurut hasil kajian Institut Darul Ehsan (IDE).
Pengerusi Eksekutif IDE, Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, hasil Kajian Persepsi Pengundi Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor pada 12 Ogos ini menunjukkan, daripada jumlah itu sebanyak 26.3 peratus melihat Anwar sebagai pemimpin yang membawa agenda Malaysia Madani ke arah negara yang lebih cemerlang.
Selain itu katanya, seramai 16.9 peratus yakin beliau mampu menyatupadukan pelbagai kaum di negara ini, 16.1 peratus percaya Anwar sebagai pemimpin yang membanteras amalan rasuah dan salah guna kuasa, serta 14.1 peratus melihat pemimpin itu mampu mengekang kenaikan kos sara hidup.
Mohammad Redzuan berkata, dapatan kajian itu telah dilaksanakan IDE pada 12 hingga 15 Mei lepas, melibatkan 1,693 responden meliputi 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
Hasil kajian juga mendapati, hanya 18.7 peratus mempunyai persepsi negatif kepada Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), antaranya melihat beliau tidak mampu memulihkan ekonomi negara, tidak memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam, serta tidak layak diangkat menjadi Perdana Menteri kerana merupakan bekas banduan.
Mohammad Redzuan berkata, keputusan kajian juga menunjukkan, seramai 58 peratus akan mengundi parti PH dan Barisan Nasional (BN) sebagai parti Kerajaan Perpaduan pada PRN nanti manakala 16 peratus lagi memilih untuk mengundi Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata, seramai 26 peratus responden masih menjadi undi atas pagar, namun mempunyai persepsi yang positif sebanyak 69.1 peratus terhadap Anwar.
Selain itu katanya, dapatan kajian yang sama yang merangkumi pengundi kali pertama berusia 18 hingga 24 tahun, melihatkan 50 peratus daripada mereka memilih untuk mengundi PH-BN, PN (17 peratus) dan atas pagar (33 peratus).
Beliau berkata, hasil yang dilakukan juga mendapati, seramai 78.9 peratus teruja untuk keluar mengundi dan keterujaan golongan pengundi pertama untuk memilih ialah sebanyak 68.5 peratus.
Pada Pilhan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lepas, Selangor mencatatkan 78.6 peratus pengundi telah keluar mengundi.
Mohammad Redzuan berkata, lawatan Anwar dalam beberapa acara di universiti dan Selangor khususnya, memberi impak yang baik kepada populariti pemimpin itu sehingga mencapai sekitar 80 peratus.
"Ada impak baik dan banyak merubah kecenderungan pengundi, terutama dalam kalangn ahli UMNO terhadap Kerajaan Perpaduan, selepas Anwar mendedahkan bahawa ada usaha untuk mengharamkan parti itu dan Anwar menghalangnya,” katanya.
Anwar sebelum ini mendakwa Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah merancang mengharamkan UMNO ketika berkuasa, selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Namun katanya, trend pengundian tersebut akan mendapat gambaran yang lebih jelas pada minggu kedua kempen PRN nanti, malah secara kebiasaannya 20 peratus dalam kalangan pengundi atas pagar akan membuat keputusan mereka, dua hari sebelum hari mengundi. - Bernama