NAMA pemain dram remaja, Naimi Daini tiba-tiba sahaja menjadi sebutan ramai selepas tampil beraksi bersama kumpulan Search di Konsert Nusafest 2023 di Bandar Malaysia pada 8 Julai lalu.
Ramai tidak menyangka gadis berusia 17 tahun itu mampu bermain dram dengan baik untuk sebuah kumpulan rock legenda yang jauh berpengalaman daripadanya.
Berkongsi pengalaman tersebut, Naimi yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini berkata, peluang tersebut adalah sesuatu yang di luar jangkaannya.
"Semestinya saya sangat gembira dan teruja apabila diberikan peluang untuk beraksi bersama Search. Pengalaman yang cukup berharga buat saya yang masih baru dalam bidang muzik ini.
"Saya sangat gementar saat pertama kali beraksi bersama mereka baru-baru ini. Pelbagai doa saya baca, minta agar semuanya berjalan lancar.
"Uncle Amy dan anggota lain banyak beri semangat dan tunjuk ajar, sekali gus membuatkan saya selesa, malah seronok beraksi pada persembahan itu,” ujarnya.
Naimi ditemui pada majlis pelancaran Konsert Housboom Music 2023 di ibu kota pada Selasa hadir bersama anggota Search iaitu Datuk Amy, Nasir Daud, Hillary Ang dan Man Kidal akan turut menyertai konsert tersebut yang bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada 9 dan 10 September depan.
Mengulas pujian diberikan Amy terhadap persembahannya sebelum ini yang dikatakan mempunyai sedikit persamaan dengan Allahyarham Yazit, remaja yang mula bermain dram semenjak umur sembilan tahun itu berterima kasih kerana bakatnya dilihat dengan baik.
"Saya berterima kasih atas pujian yang cukup bermakna itu. Sebenarnya masih banyak yang perlu saya pelajari dan perbaiki dalam permainan dram saya.
"Setiap hari selepas pulang dari sekolah dan menyelesaikan hal berkaitan, saya terus buat latihan bersama Search.
"Saya juga sekarang sedang mendalami muzik dan lagu-lagu Search memandangkan sebelum ini tidak begitu mengikuti perkembangan mereka,” katanya yang kini merupakan pemain dram undangan berstatus tetap bersama kumpulan rock itu.
Berkongsi momen bagaimana bakatnya ditemui kumpulan Search, Naimi berkata, semuanya bermula apabila pemain gitar kumpulan itu, Hillary Ang menghubunginya selepas menonton videonya bermain dram di YouTube.
"Uncle Hillary tanya adakah saya minat bermain dram dengan Search. Dia jua buat sedikit audition dengan meminta saya mainkan dua buah lagu Search iaitu Diari Habil & Qabil dan Pelesit Kota menerusi video.
"Alhamdulillah mereka beri komen positif dan di situlah bermulanya saya bersama Search. Pengalaman luar biasa yang berlaku tiba-tiba,” katanya yang berhasrat menyambung pelajaran dalam bidang muzik selepas ini.