CHUKAI - Masalah jalan terputus sering dihadapi penduduk akibat banjir berjaya diselesaikan setelah projek naik taraf jalan Persekutuan menghubungkan Chukai ke Air Putih siap sepenuhnya April lepas.
Menterinya Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek naik taraf membabitkan kos sebanyak RM192.8 juta itu dijalankan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu bermula pada Mei 2017.
"Turut dibina adalah sebuah jambatan baharu sepanjang 25 meter (m) di Sungai Tempurung, jambatan tebatan banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sepanjang 313m dan menaikkan aras jalan lebih kurang 2m tinggi di lokasi banjir," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir menyaksikan penyerahan projek tersebut daripada JKR Terengganu kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) pada Khamis.
Katanya, KKR sebelum ini telah menerima permohonan daripada kerajaan Terengganu untuk menaik taraf dan meninggikan aras jalan tersebut bagi mengurangkan kesan akibat banjir selain menyediakan infrastruktur awam yang selesa dan selamat untuk para pengguna.
"JKR sentiasa memantau keperluan lebih-lebih lagi di kawasan terkena banjir. KKR ada data dan maklumat, jadi langkah yang diambil termasuklah selepas kenal pasti keperluan itu, kita cari bagaimana (penyelesaiannya) untuk kerja pembaikan secepat mungkin dengan keutamaan di jalan-jalan persekutuan," katanya.
Beliau berkata, pada tahun lepas, KKR telah memperuntukkan lebih RM28 juta bagi projek naik taraf dan baik pulih 68 batang jalan persekutuan di Terengganu melibatkan kerja pavemen berkala dan tidak berkala.
Projek berkala pavemen meliputi kerja-kerja penurapan jalan dan baik pulih lapisan permukaan jalan seperti resurfacing (penurapan semula), mill and pave (mengisar dan menurap), partial reconstruction (pembinaan semula sebahagian) dan reconstruction (pembinaan semula).
Projek berkala bukan pavemen melibatkan kerja pembaikan, baik pulih, penggantian dan pemasangan baharu semua item bukan pavemen dalam rezab jalan seperti bina baharu longkang konkrit, memasang baharu perabot jalan termasuk papan tanda serta baik pulih struktur dan cerun. - Bernama