KUANTAN - Dua penternak kerugian puluhan ribu ringgit apabila kira-kira 75 ekor kambing dan biri-biri peliharaan mereka mati dipercayai dibaham harimau kumbang dalam kejadian di Kampung Batu Hitam di sini, sejak dua minggu lalu.
Kejadian terbabit bukan hanya mengejutkan penternak, malah penduduk sekitar perkampungan tersebut mula bimbang dengan kehadiran haiwan buas itu yang dianggap mengancam keselamatan mereka.
Pemilik kandang biri-biri, Azmi Manan 62, mengesyaki serangan daripada harimau kumbang itu selepas melihat kesan gigitan dan cakaran pada bangkai biri-birinya.
Menurutnya, dakwaan itu bertambah kuat dengan penemuan kesan tapak kaki harimau kumbang itu berdekatan dengan kandang miliknya.
"Pada mulanya saya ingat anjing, tetapi tengok pada bangkai, ada kesan cakar, gigitan pada leher (ternakan) dan hanya makan organ dalam sahaja.
"Jadi, kita rasakan kehadiran haiwan buas itu menyerang ternakan itu dan kami lebih yakin apabila pihak Perhilitan (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara) mengesahkan itu (harimau kumbang) berdasarkan kesan (gigitan dan cakaran) pada bangkai," katanya ketika ditemui di Kampung Batu Hitam di sini pada Khamis.
Bercerita lanjut, bapa kepada lapan anak memberitahu, kejadian ini merupakan kali pertama harimau kumbang itu datang menyerang haiwan ternakan di kawasan tersebut.
Katanya, haiwan liar itu dipercayai memasuki kebun pada sebelah malam dan menjadi ternakan sebagai habuan makanan.
"Saya tidak pasti macam mana haiwan itu masuk ke kandang ternakan, kejadian itu berlaku sudah hampir dua minggu lalu secara sikit-sikit. Hampir setiap malam lebih kurang tujuh hingga lapan ekor kambing mati dibaham harimau kumbang itu.
"Habis 40 ekor biri-biri saya pelihara di makannya (harimau kumbang) dalam tempoh dua minggu. Selepas ternakan saya habis, saya difahamkan harimau kumbang berkenaan menyerang haiwan ternakan di kandang penternak lain," ujarnya.
Seorang lagi penternak, Wan Mohd Suffian Wan Mohmad,47, memberitahu serangan tiga kali daripada harimau kumbang itu mengakibatkan 50 haiwan ternakannya termasuk ayam mati.
Dia mengakui sedih, namun terpaksa reda dengan ujian yang sedang ditempuh pada ketika ini.
"Hanya enam ekor kambing yang tinggal dan 35 lagi sudah mati dibaham harimau kumbang, ayam pula satu reban habis (dalam 20 ekor) ikut rasa hati macam malas hendak bela (ternak) kambing, tapi sudah ada tempat sebegini, macam rugi kalau tidak teruskan.
"Jadi, selepas selesai isu ini mungkin saya akan beli beberapa ekor kambing sebagai tambahan," ujarnya.
Wan Mohd Suffian berkata, sepanjang dua hari bermalam di kandang tersebut, tiada sebarang kelibat harimau kumbang di kesan.
Sementara itu, Penghulu Mukim Beserah, Nasaruddin Ahmad berkata, penduduk terlibat telah membuat laporan kepada Perhilitan dan perangkap telah dipasang beberapa hari lalu untuk mendapatkan harimau kumbang itu.
Katanya, pihak Perhilitan itu percaya harimau kumbang itu akan datang semula memandangkan masih ada lagi haiwan ternakan di kawasan tersebut.
"Kita pun tidak menyangka keadaan ini berlaku memandangkan kawasan ini hanya berada dalam kawasan hutan belukar dan jauh daripada hutan tebal.
"Dengan itu, penduduk kampung Batu Hitam dinasihatkan sentiasa berhati-hati dan tidak membuat tindakan sendiri memandangkan perkara ini melibatkan binatang buas,” ujarnya.
Tinjauan Sinar Harian ke lokasi berkenaan mendapat terdapat perangkap dipasang oleh Perhilitan bagi menangkap harimau kumbang yang dipercayai masih berada di kawasan itu.