SHAH ALAM - Amaran yang diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada semua menteri kabinet dan pegawai kementerian supaya menghindari sebarang bentuk salah laku dapat mengekang masalah rasuah secara menyeluruh, bukan sahaja di peringkat bawahan tetapi juga pihak atasan.
Pengerusi Rasuah Busters Perlis, Nor Halmey Hamdah berkata, dahulu penangkapan berhubung rasuah dilihat hanya tertumpu kepada 'ikan bilis', namun sekarang diharapkan ia turut menyasarkan 'jerung'.
"Bagi saya sebelum ini orang pertikaikan asyik tangkap ketua jabatan, orang atas tiada yang berani beri amaran. Kali ini bila Perdana Menteri cakap begitu, ia menunjukkan beliau komited untuk tangani masalah tersebut.
"Kita tidak mahu orang bawah sahaja ditakut-takutkan, sedangkan di peringkat atasan dibiarkan. Kalau kepala betul, ekornya pasti betul," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Pada Rabu, sempena sambutan Maal Hijrah, Anwar menegaskan, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memantau dan memberi laporan sekiranya terdapat kes rasuah dan salah guna kuasa di peringkat kementerian.
Sementara itu, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berpendapat, untuk memastikan kesan berkekalan dalam membanteras rasuah, kerajaan perlu konsisten melaksanakan langkah-langkah yang holistik dan berterusan.
"Pelbagai reformasi institusi perlu disegerakan. Dengan usaha berterusan dan langkah-langkah yang berkesan, kita pasti dapat maju ke arah negara yang bersih serta bebas daripada rasuah.
"Penting juga diingatkan bahawa membanteras rasuah adalah tanggungjawab bersama dan memerlukan usaha semua pihak terutamanya pihak kerajaan, pertubuhan masyarakat sivil serta rakyat Malaysia secara keseluruhan," jelasnya.
Tambah Jais, hebahan yang dilakukan oleh Perdana Menteri adalah langkah positif untuk memerangi rasuah dalam kalangan ahli politik negara ini.
"Ingatan demi ingatan daripada beliau mengenai amalan bebas rasuah adalah penting bagi memastikan pentadbiran yang bersih dan berintegriti dalam kerajaan hari ini.
"Selain itu, kerjasama dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyemak dan menyiasat kes jenayah yang melibatkan menteri serta pegawai kementerian adalah langkah penting untuk menunjukkan keseriusan kerajaan dalam menangani kes rasuah," katanya.