PRN: DAP sudah serah senarai calon kepada Anthony Loke

Iklan
Kon Yeow (tiga dari kiri) melancarkan MentorConnect Penang 2023 di Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC) pada Khamis.

BAYAN LEPAS - Senarai calon DAP Pulau Pinang yang bakal bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) telah diserahkan kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook untuk dibuat pemilihan terakhir.

Pengerusi DAP, Chow Kon Yeow berkata, semua maklumat akan diumumkan apabila keputusan telah dimuktamadkan kelak.

Iklan
Iklan

"Saya mahu umumkan bahawa Jawatankuasa Pemilihan Calon DAP Pulau Pinang telah bermesyuarat dan kita telah kemukakan senarai cadangan kepada Setiausaha Agung (Anthony) yang mana, Jawatankuasa Pemilihan Pusat akan membuat keputusan muktamad terhadap senarai yang dicadangkan oleh jawatankuasa negeri.

"Semua maklumat akan dapat tahu apabila dimuktamadkan nanti," katanya selepas melancarkan MentorConnect Penang 2023 di Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC) di sini pada Khamis.

Iklan

Tambahnya, DAP akan bertanding di 19 kerusi daripada 40 kerusi yang ada di Pulau Pinang.

"Kita telah mengemukakan lebih daripada 19 calon termasuk muka baru untuk dipertimbangkan. Sebelum mesyuarat jawatankuasa negeri saya sudah bertemu dengan semua yang berkenaan dan jawatankuasa menimbang semua pandangan itu sebelum kita buat cadangan berkenaan.

Iklan

"Sama ada senarai itu akan ditukar, kita pun perlu tunggu, saya dimaklumkan saya akan dijemput untuk hadir bagi menerangkan sekiranya perlu justifikasi nama-nama yang dicadangkan itu," katanya.

Sebelum ini, terdapat ura-ura bahawa beberapa nama bekas ADUN dari DAP yang menjawat jawatan Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang dikatakan tidak dicalonkan semula pada PRN yang akan diadakan Ogos ini.

Mereka termasuk Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy; bekas ADUN Sungai Puyu, Phee Boon Poh; Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee; Exco Pelancongan dan Industri Kreatif, Yeoh Soon Hin dan Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Chong Eng.

Mengulas mengenai perkara itu, Kon Yeow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, perkara itu belum diketahui lagi buat masa ini.

"Kita cuma menunggu beberapa hari lagi untuk tahu segala-galanya. Mungkin ada yang digugurkan. Kita sudah berjumpa dengan semua penyandang dan mereka telah berkongsi hasrat masing-masing.

"Saya juga telah menyampaikan hasrat dan jangkaan pusat terhadap senarai berkenaan, maka jawatankuasa negeri telah ambil kira pandangan-pandangan selain telah menyiapkan senarai berdasarkan pandangan-pandangan ini," katanya.

Mengenai tarikh pengumuman calon, Kon Yeow berkata, mesyuarat di peringkat pusat akan diadakan pada minggu depan.

"Ini akan diputuskan oleh pusat, saya dimaklumkan mesyuarat tidak dapat diadakan pada minggu ini kerana ada beberapa ahli tidak ada dalam negara. Mungkin akan diadakan beberapa hari lagi, mungkin minggu depan.

"Mengenai pengumuman calon, di peringkat negeri, saya lihat bahawa setiap parti boleh umumkan senarai masing-masing tetapi di Pulau Pinang, kita akan majlis untuk perkenalkan calon-calon kerana mungkin ada muka baru yang kita belum kenal lagi," katanya.

Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi DUN dan pada Pilihan Raya Umum 2018, PH telah memenangi 37 kerusi, ketika Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih menjadi sebahagian daripada PH.