TESLA secara rasmi melancarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik terbaharunya, Model Y, di Malaysia yang berharga RM199,000 hingga RM288,000 seunit yang akan mula diterima pada awal 2024.
Model Y yang disifatkan sebagai model Tesla yang ditawarkan pada harga berpatutan, direka serta dibangunkan sebagai kenderaan SUV pertama untuk pasaran massa, sekali gus melakar detik bermakna dalam misi syarikat itu mempercepat peralihan dunia kepada tenaga lestari.
Pengarah Serantau Tesla Isabel Fan berkata, syarikat tersebut telah memulakan pengeluaran dalam volum atau jumlah lebih rendah bagi membuktikan keselamatan dan kedayamajuan kenderaan elektrik itu berbanding kenderaan dipacu oleh enjin pembakaran secara dalaman.
"Tesla telah membuka banyak kilang di serata pelusuk dunia termasuk di Texas, Berlin, Shanghai, Fremont dan Mexico dengan kapasiti pengeluaran tahunan melebihi dua juta unit kenderaan,” katanya pada majlis pelancaran Model Y itu pada Khamis
Beliau berkata, Tesla juga merupakan penyedia rangkaian pengecasan pantas terbesar dunia dengan kira-kira 5,000 stesen pengecasan super, termasuk dianggarkan 2,000 stesen di rantau Asia Pasifik.
"Stesen pengecasan dalaman pertama yang merangkumi lapan titik pengecas, telah dibina di ruang tingkat bawah tanah (pusat beli-belah) Pavilion Kuala Lumpur. Bagaimanapun, ia masih dalam proses menunggu kelulusan lesen sebelum dapat ditauliahkan untuk penggunaan sepenuhnya,” katanya.
Sementara itu dalam kenyataannya, Tesla berkata, sepertimana varian lain, Model Y tersebut menggabungkan aspek seperti prestasi, keselamatan serta teknologi.
Sejajar dengan cirinya sebagai SUV bersaiz sederhana, model tersebut didatangkan dengan ruang kargo berkeluasan 2.1 meter padu persegi, tempat duduk dan penyimpanan serba boleh untuk sehingga lima penumpang serta barangan mereka.
"Model Y akan memulakan penghantarannya kepada pelanggan Malaysia pada awal 2024. Tesla juga komited untuk membantu melonjakkan usaha pelepasan sifar karbon dan masa depan lebih hijau untuk Malaysia,” katanya.
Malah, selaras dengan usaha Malaysia menggalakkan mobiliti berkarbon rendah dan menyokong industri kenderaan elektrik (EV), pelanggan Tesla akan turut menikmati pengecualian duti import dan eksais penuh bagi kenderaan elektrik Tesla yang baru didaftarkan.
Selain itu, pelanggan juga meraih manfaat daripada pengecualian 100 peratus cukai jalan dan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 ke atas bagi perbelanjaan berkaitan kemudahan pengecasan EV untuk tahun taksiran 2023.
SUV Model Y itu yang telah dibuka untuk tempahan sejak 14 Julai, 2023, ditawarkan dalam pilihan warna termasuk putih mutiara, hitam, perak, biru tua dan merah pada harga RM199,000 hingga RM288,000 seunit. - Bernama