REE: Sanusi perlu perjelas persoalan meragukan - Saifuddin

Iklan
Saifuddin ketika sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Tapak Projek LRA Jenun Lama pada Khamis.

PENDANG - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor perlu memperjelaskan beberapa persoalan meragukan berkaitan kecurian unsur nadir bumi (REE) di kawasan Bukit Enggang, Sik.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, apa yang dibangkitkan sebelum ini berlandaskan fakta dan bukti, bukan sengaja dicipta bagi mewujudkan plot kononnya mahu menjatuhkan Sanusi menjelang pilihan raya negeri (PRN).

Iklan
Iklan

Menurutnya, selaku Pengerusi Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah, Sanusi seharusnya mengetahui pengoperasian MBI membabitkan perlombongan REE secara tidak sah susulan terdapat surat sokongan ditandatangani sendiri oleh beliau.

"Ini soal tanggungjawab dan akauntabiliti. Saya tanya bukan tuduh, saya tunggu jawapan Sanusi. Saya tak akan dedah kalau tidak ada dokumen sahih.

Iklan

"Apa yang dibangkitkan sebahagian daripada isu pentadbiran, tak ada plot apa pun. Kita tanya kenapa melombong REE, guna tenaga kerja Cina, kemudiannya terlibat dengan membawa keluar REE tanpa mengikut peraturan. Banyak persoalan belum dijawab beliau,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Tapak Projek Loji Rawatan Air (LRA) Jenun Lama di sini pada Khamis.

Saifuddin berkata, antara yang menjadi pertikaian termasuk dua warga China yang dibawa masuk menggunakan Pas Lawatan Ikhtisas sebagai pakar profesional bagi mengkaji tapak REE di kawasan berkenaan.

Iklan

"Salah seorang daripada mereka antara 52 pekerja yang ditahan pada Januari melalui operasi Jabatan Imigresen, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah dan Jabatan Mineral dan Galian.

"Seorang lagi tak pasti, mungkin Sanusi lebih tahu di mana dia berada sekarang walaupun saya ada rekod keluar masuk dia. Apakah mereka masuk sebagai ahli geologi untuk menasihati MBI dalam penerokaan REE, adakah mereka berdaftar dengan badan kawal selia bidang tersebut,” soalnya.

Dakwa Saifuddin lagi, Sanusi pernah menulis surat kepada Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin untuk mohon kemasukan 10 jurutera dan 21 pekerja mahir dari China, sebaliknya surat daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MBI mengatakan 21 pekerja tersebut sebagai pekerja am.

"Saya nak tanya, ketika surat tersebut dihantar kepada Hamzah ketika itu, apakah profil mereka diberikan keterangan sehingga membolehkan kelulusan diberikan termasuk status profesional, perincian kerja, gaji serta elaun diterima,” katanya.

Menurutnya, sebahagian daripada pekerja itu dibawa masuk menggunakan permit pelancongan perubatan bagi mendapatkan rawatan kesihatan dan ia amat meragukan.

Saifuddin mendakwa, surat yang diberikan kepada syarikat-syarikat tersebut adalah kebenaran memasuki kawasan bagi melakukan eksplorasi, bukan bagi mengusaha hasil.

"Jabatan Mineral dan Galian ibu pejabat sahkan tiada kebenaran melombong diberikan. Hasil REE mesti dieksport malah tiada juga AP eksport. Banyak perkara menjadi pertikaian dan belum selesai.

"SOP perlombongan nadir bumi bawah kawal selia Kementerian Sumber Asli perlu disediakan terlebih dahulu, sementara ia disiapkan, Kedah mengeluarkan sejumlah lesen meneroka bawah enakmen mineral negeri Kedah,” katanya.

Menurutnya, terdapat 13 agensi kawal selia sebelum mineral tersebut boleh di lombong sehingga kepada aktiviti mengeksport.

"Dalam kes Kedah, tak ada kelulusan daripada agensi kawal selia sedangkan kes melombong berlaku. Ia dibuktikan dengan tangkapan pada Januari babitkan 383 kampit REE, itu tak termasuk tangkapan bulan Jun. Ini bukan eksplorasi, yang hanya ambil sampel sedikit.

"Tangkapan kedua pada Jun pula adalah kerana ada lagi surat kebenaran daripada CEO MBI kepada syarikat-syarikat terlibat. Kes pertama yang dibuka kertas siasatan pun belum selesai, pada 15 Mei keluar pula surat kepada syarikat ini untuk masuk lagi ke kompartmen MBI untuk eksplorasi,” katanya.

Saifuddin berkata, dalam tangkapan Januari berdasarkan kepada kesalahan menceroboh hutan simpan dan menyebabkan syarikat terlibat dikenakan denda RM135,000 sementara individu tersebut dikenakan kompaun RM5,000.

"Terdapat komponen disiasat bawah Akta Imigresen kerana melibatkan warga asing, ada komponen disiasat bawah Jabatan Perhutanan dan sebahagian oleh Jabatan Mineral dan Galian. Apa status semua kertas siasatan ini? Banyak lagi belum terjawab,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Saifuddin dakwa MBI tahu isu kecurian REE di Sik

REE: Saya belum terima kunjungan SPRM - Sanusi

Kecurian REE: Kerajaan Kedah diminta perjelas dakwaan - Mahdzir

REE: Saifuddin dedah MBI Kedah terima kompaun

REE: PKR Kedah lapor SPRM, gesa siasat Sanusi

Isu REE: SPRM siasat seorang Menteri Besar

REE: SPRM rakam keterangan 12 saksi