Terbuka Korea: Sze Fei-Nur Izzuddin mara ke suku akhir

Iklan
Sze Fei-Nur Izzuddin mara ke pusingan suku akhir Kejohanan Terbuka Korea 2023 hari ini. - Foto Badminton Association of Malaysia

[DIKEMAS KINI] BEREGU lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani meneruskan aksi cemerlang selepas berjaya mara ke pusingan suku akhir Kejohanan Terbuka Korea 2023 hari ini.

Iklan
Iklan

Pasangan itu yang baru dinobatkan juara Terbuka Amerika Syarikat 2023 pada Ahad lepas, menafikan cabaran beregu senegara yang juga pilihan keenam kejohanan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi 25-23, 21-15 pada pusingan kedua yang berlangsung di Stadium Jinnam, Yeosu, Korea Selatan.

Bagaimanapun, tugas getir menanti Sze Fei-Nur Izzuddin di pentas suku akhir apabila bakal berdepan cabaran pilihan utama kejohanan Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia yang mara selepas menewaskan pasangan Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han 21-19, 21-15.

Iklan

Mengiringi kemaraan gandingan ranking ke-46 dunia itu ialah perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong yang tidak berdepan masalah dalam mengetepikan cabaran pemain Hong Kong, Angus Ng Ka Long.

Tze Yong akan berdepan pilihan keempat kejohanan dari Singapura, Loh Kean Yew yang mara selepas menewaskan pemain China, Zhao Junpeng 21-19, 17-21, 21-6.

Iklan

Dalam pada itu, empat lagi wakil negara terpaksa melupakan hasrat melangkah lebih jauh selepas ditunjukkan jalan keluar oleh lawan masing-masing pada aksi pusingan kedua yang berlangsung di venue sama.

Perseorangan wanita negara, S Kisona tewas dalam pertarungan tiga set 22-20, 14-21, 14-21 di tangan pilihan utama kejohanan dari Jepun, Akane Yamaguchi, sementara beregu utama wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah berdepan nasib sama di tangan pasangan China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan 17-21, 21-17, 19-21.

Beregu campuran negara Tan Kian Meng-Lai Pei Jing pula akur dengan kekalahan straight set 9-21, 7-21 kepada pilihan kedua dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai, sementara beregu campuran Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai tewas kepada pasangan Jepun Hiroki Midorikawa-Natsu Saito 17-21, 13-21.

Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, yang turun sebagai pilihan keempat kejohanan, tersingkir di pusingan kedua di tangan wakil Jepun, Keiichiro Matsui-Yoshinori Takeuchi 21-19, 18-21,19-21.

Keiichiro-Yoshinori akan bertemu pasangan Korea Selatan, Kang Min Hyuk dan Seo Seung Jae pada aksi suku akhir pada Jumaat.

Beregu Korea itu menewaskan rakan senegara, Jin Yong-Na Sung Seung 24-26, 21-15, 21-18.

Pada masa sama, pemain perseorangan wanita negara, K Letshanaa terpaksa akur apabila ditewaskan dengan mudah oleh pemain nombor empat dunia dari Taiwan, Tai Tzu Ying 21-15 dan 21-5.

Tzu Ying akan meneruskan kemaraannya bertemu Zhang Yi Man dari China selepas melakar kejutan mengalahkan rakan senegaranya, Han Yue 21-10 dan 21-17. - Bernama