Anwar sifatkan Vietnam sebagai rakan Malaysia paling akrab

Iklan
Anwar (dua dari kiri) dan isteri, Wan Azizah (kiri) bersama rakan sejawatnya Pham Minh Chinh (dua dari kanan) dan isteri, Le Thi Bich Tran pada majlis makan malam sempena lawatan Perdana Menteri ke Vietnam di The Presidential Palace pada Khamis. - Foto Bernama

HANOI - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Vietnam sebagai rakan Malaysia yang paling akrab sejak terjalinnya hubungan diplomatik antara kedua-dua negara lima dekad lepas.

Beliau berkata, kedua-dua negara telah menjalinkan hubungan dua hala yang amat baik dan Malaysia bersedia meningkatkan kerjasama serta hubungan istimewa sedia ada ke tahap lebih tinggi.

Iklan
Iklan

Anwar turut menzahirkan kekaguman beliau terhadap perjuangan Vietnam dan rakyatnya untuk pulih daripada kesusahan serta kesukaran yang dialami semasa pertempuran menentang penjajah.

"Berbekalkan kecekalan dan ketabahan di peringkat kepimpinan serta rakyat, anda berjaya mengecapi kejayaan besar dalam tempoh beberapa dekad sahaja yang sekali gus menjadikan Vietnam sebuah negara penting di ASEAN dan kini dikenali sebagai antara negara membangun paling berpotensi di dunia,” katanya.

Iklan

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam rasmi yang dihoskan oleh rakan sejawatnya Pham Minh Chinh di sini malam ini.

Turut hadir Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin.

Iklan

Sebelum itu, semasa melakukan kunjungan hormat ke atas Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam, Nguyen Phu Trong, Anwar menzahirkan rasa gembira dengan kerjasama dua hala sedia ada dan berkata usaha akan dilakukan untuk mengukuhkan lagi hubungan itu.

"Saya juga dimaklumkan bahawa Tuan Yang Terutama Nguyen Phu Trong sering berbicara soal antirasuah dan tatakelola yang baik di Vietnam dan kami dapat bertukar pandangan terkait perkara ini serta keperluan untuk agensi antirasuah kedua-dua negara bekerjasama dan mengadakan perkongsian bersama,” katanya. - Bernama