Murid ditimpa pam tandas masih trauma

Iklan
Muhamad Arafat (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Nur Alisha Adawiyah ketika melawat SK Perpaduan di sini pada Jumaat.

IPOH - [DIKEMAS KINI] Murid Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Perpaduan yang cedera ditimpa pam tandas pada Selasa lalu mengakui masih trauma dengan kejadian berkenaan.

Bercerita mengenai kejadian itu, Nur Alisha Adawiyah Mohd Yusri, 9, berkata, ketika kejadian dia ditemani rakan kira-kira jam 4 petang.

Iklan
Iklan

Katanya, ketika ingin menarik tali pam tandas tersebut, tiba-tiba tangki berkenaan jatuh dan terkena kepala sebelah kiri.

"Saya terkejut dan menangis bila tangki itu jatuh. Lepas itu saya terus beritahu cikgu.

Iklan

"Sampai sekarang saya risau nak ke tandas. Kalau pergi tandas memang kena ada teman," katanya kepada pemberita ketika ditemui di SK Perpaduan di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhammad Arafar Varisai Mahamad yang melawat sekolah berkenaan memaklumkan kejadian itu sudah berada dalam pengetahuan Kementerian Pendidikan (KPM).

Iklan
Muhamad Arafat (duduk) melihat tangki pam tandas yang jatuh menimpa murid tersebut Nur Alisha Adawiyah ketika melawat SK Perpaduan di sini pada Jumaat.

Menurutnya, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) akan mengambil tindakan untuk menambah baik kemudahan tandas yang rosak.

Beliau berkata, tandas sedia ada baru sahaja dinaik taraf tahun lepas dengan kos keseluruhan RM200,000 bagi 35 unit di sekolah berkenaan.

Jelasnya, untuk sementara waktu, murid-murid akan menggunakan tandas guru sehingga tandas dibaiki.

Arafat berkata, bagi murid berkenaan pula, beberapa bantuan akan diberikan termasuklah sesi kaunseling.

....................................................................................................................................................

Pam tandas plastik mungkin lebih selamat

IPOH - Kerajaan Negeri Perak menggesa jabatan teknikal terlibat melakukan penilaian lebih terperinci terhadap penggunaan pam tandas jenis seramik di sekolah.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, kesesuaian itu perlu dilihat bagi mengurangkan risiko kemalangan terhadap pelajar sekiranya berlaku runtuhan atau kerosakan.

Menurutnya, buat masa ini, sebarang kerja penyelenggaraan atau naik taraf bangunan sekolah adalah di bawah skop tugas dan seliaan jabatan teknikal seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pejabat Daerah.

"Penggunaan sama ada seramik atau plastik semuanya bergantung kepada penilaian yang dibuat jabatan teknikal. Kalau tidak sesuai guna seramik kenalah guna plastik atau sebagainya.

"Di Jabatan Pendidikan kita tidak ada jabatan teknikal, jadi jabatan terlibat khususnya JKR perlu buat penilaian kerana mereka lebih arif tentang penggunaan jenis itu berdasarkan kesesuaian lokasi serta kemampuan daya tahan sesuatu tempat," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Dalam kejadian Selasa lalu, seorang murid perempuan Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Perpaduan di sini cedera ditimpa tangki pam tandas jenis seramik yang tercabut.

Bahan seramik itu jatuh mengenai murid berkenaan sehingga mengakibatkan bengkak pada kiri kepala.

Mengulas lanjut Khairudin berkata, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) telah pun mengadakan perbincangan dan menggariskan prosedur operasi standard (SOP) tertentu bagi mengelak kejadian sama berulang.

"Saya juga telah minta semua sekolah membuat penyeliaan supaya keadaan fizikal setiap tandas dilihat.

"Paling penting kita tidak mahu kejadian seumpama ini berlaku lagi di masa-masa akan datang di sekolah lain atau melibatkan murid lain," katanya.

Khairudin sebelum itu mengadakan kunjungan ke kediaman atlet Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), Nur Asliza Mohd Sapri, 18, yang memperolehi emas dalam acara lontar peluru pada Sukan Olimpik Khas Dunia 2023 di Berlin, Jerman, Jun lalu.