'Bukan serang wanita, tapi berebut periksa kesihatan' - Polis

Iklan
Tangkap layar kejadian warga asing yang bertengkar semasa hendak mendapatkan rawatan di sebuah poliklinik di Kajang.

KAJANG - Polis mengesahkan tiada kejadian kumpulan warga asing menyerang wanita di sebuah poliklinik di Taman Prima Saujana, di sini seperti dakwaan yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Sebaliknya, kata Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, kejadian itu adalah perebutan antara dua kumpulan warga asing ketika hendak mendapatkan pemeriksaan kesihatan di klinik terbabit.

Iklan
Iklan

Menurutnya, satu laporan telah diterima polis pada jam 8.23 malam, Khamis oleh seorang doktor berusia 35 tahun susulan video kejadian yang tular di aplikasi TikTok sebuah akhbar tempatan yang bertajuk 'tular sekumpulan warga asing bawa kayu hoki serang wanita’.

"Menurut pengadu, kira-kira jam 6 petang, pada Rabu, semasa stafnya sedang bertugas di poliklinik terbabit, telah hadir dua kumpulan disyaki warga Bangladesh untuk pemeriksaan kesihatan.

Iklan

"Kedua-dua kumpulan ini telah dibawa oleh dua ejen berlainan yang juga warga Bangladesh," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, semasa dua kumpulan warga asing berada di hadapan poliklinik, telah berlaku pertengkaran antara mereka sehingga kedua-dua kumpulan membawa keluar beberapa batang kayu hoki.

Iklan

Katanya, keadaan menjadi semakin tegang sehingga berlaku tolak menolak antara mereka dan salah seorang suspek telah masuk dalam poliklinik sehingga menyebabkan staf menjerit dan menghalau keluar kesemua warga asing dari situ.

"Punca kejadian adalah perebutan untuk pemeriksaan kesihatan. Siasatan juga dapati, tiada kejadian ‘warga asing serang wanita di klinik’ seperti viral di sosial media," ujarnya.

Susulan itu, kata Mohd Zaid, kira-kira jam 1.15 pagi, Jumaat, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang telah membuat tangkapan tiga lelaki warga Bangladesh berusia antara 24 hingga 32 tahun di sekitar kawasan Sentul dan Setapak, Kuala Lumpur.

"Kesemua suspek mengaku terlibat dalam kes ini dan telah direman empat hari sehingga 24 Julai untuk siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," ujarnya.

Tambahnya, polis menyeru dan mengingatkan semua pihak supaya tidak terpengaruh dan jangan menyebarkan berita palsu yang boleh menimbulkan kegusaran awam.

"Jika didapati bersalah, tindakan undang-undang boleh dikenakan. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat kes Inspektor Norhafizah Borhannudin di talian 018-3903410 bagi membantu siasatan," katanya.