HANOI - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluangkan masa melawat Book Street di Jalan 19/12 di sini, iaitu pusat jualan buku paling popular di Hanoi.
Kunjungan Anwar bersama isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut diiringi rakan sejawatannya, Pham Minh Chinh, dan mereka meluangkan masa hampir sejam di situ.
Ketika lawatan itu, Anwar turut bertukar-tukar buku dengan Perdana Menteri Vietnam itu.
Anwar menghadiahkan buku bertajuk ‘SCRIPT: For A Better Malaysia’ dan ‘Malaysia: Blooms, Foliage and Fruits’ manakala Chinh menghadiahkan buku bertajuk Lãng du trong Văn hoá Việt Nam (Wandering through Vietnamese Culture) karya Hữu Ngọc Anh.
Selepas memasuki beberapa kedai buku Anwar, Dr Wan Azizah dan Chinh, sempat menikmati hidangan ringan di ruang legar Book Street itu.
Book Street Jalan 19/12 sepanjang 200 meter, dibuka pada tahun 2017 dan pada masa ini terdapat 16 kedai buku di situ.
Buku tulisan pengarang terkenal dan penerbit buku terkenal dunia, mudah didapati di sini.
Selain kedai buku, kawasan yang dihias dengan baik serta diliputi dengan tumbuhan-tumbuhan hijau itu turut menyediakan ruang kafe untuk pengunjung.
Sejurus selesai kunjungan ke Book Street itu, Anwar terus ke Masjid Al Noor, satu-satunya masjid yang terdapat di Bandar Raya Hanoi untuk menunaikan solat Jumaat, kemudiannya berkesempatan untuk beramah mesra dengan imam serta komuniti Islam Hanoi.
Anwar turut menyerahkan sumbangan kepada jawatankuasa masjid untuk aktiviti masyarakat Islam di situ. - Bernama