Penganjur Himpunan Ummah sedia beri kerjasama kepada polis

Iklan
Kamaruzaman Mohamad - Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI

SHAH ALAM - Penganjur Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam, Gerakan Pembela Ummah (Ummah) sedia dipanggil polis dan akan memberi kerjasama memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Penganjur himpunan berkenaan, Kamaruzaman Mohamad berkata, kesediaan itu berikutan kenyataan polis bahawa notis himpunan yang berlangsung Sabtu lalu di ibu negara tidak lengkap.

Iklan
Iklan

"Saya akan beri kerjasama penuh kepada polis dan bersedia untuk datang pada bila-bila masa apabila dipanggil polis kelak untuk memberi keterangan.

"Tapi, setakat ini, saya mahupun mana-mana kepimpinan Ummah masih belum dipanggil (polis) dan kami sedang menunggu tindakan lanjut polis," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Iklan

Kamaruzaman berkata, dia mengetahui notis penganjuran himpunan itu tidak lengkap hanya melalui media iaitu pada petang selepas himpunan berkenaan selesai.

"Saya baca kenyataan polis yang disiarkan media, dan agak terkejut juga apabila dimaklumkan notis tidak lengkap sedangkan sehari sebelum penganjuran himpunan, pihak berkuasa membenarkan kami berhimpun.

Iklan

"Dua kali perbincangan telah dilakukan dengan polis di IPD Dang Wangi serta beberapa kali perbincangan diadakan bersama anggota Cawangan Khas polis untuk memastikan kami mematuhi akta dan memastikan kelancaran himpunan.

"Namun saya akui, ketika menyerahkan notis pemberitahuan himpunan kepada polis, ia tidak disertakan notis kebenaran DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) memandangkan notis permohonan yang kami serahkan kepada DBKL masih tidak menerima jawapan balas," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Notis penganjur Himpunan Kedaulatan Ummah tidak lengkap

ARTIKEL BERKAITAN: Hampir 3,500 sertai Himpunan Kedaulatan Islam: Polis

Sabtu lalu, Ketua Polis Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, polis ada menerima notis pemberitahuan daripada penganjur namun terdapat beberapa dokumen yang perlu dilampirkan bersama notis tersebut seperti kebenaran daripada DBKL sebagai tuan punya tempat atau jalan selain notis pemakluman di bawah Seksyen 9 dipenuhi tetapi prosedur sepenuhnya tidak lengkap dan menjadikan notis itu cacat.

"Oleh itu, kita akan jalankan siasatan lanjut dan kita akan panggil penganjur sekiranya perlu," katanya.

Dianggarkan 3,500 individu menyertai Himpunan Pertahankan Kedaulatan Islam Sabtu lalu yang berlangsung dalam keadaan aman dan terkawal di Jalan Tunku Abdul Rahman.

Perhimpunan itu bermula jam 2 petang dan berakhir jam 3.30 petang akibat hujan lebat.

Antara isu yang akan dibangkitkan ketika berlangsung himpunan termasuk ancaman terhadap kedaulatan Islam; Statut Rom; keadilan anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim; isu pendidikan; serta isu cadangan menggugurkan perkataan agama dalam kad pengenalan.