Warga emas terlantar sakit di Madinah selamat pulang

Iklan
Hasmah Hamid (tengah) selamat tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di Kuala Nerus pada jam 5.30 petang pada Khamis.

KUALA TERENGGANU - Seorang wanita warga emas yang sebelum ini terlantar sakit selama 71 hari di sebuah hospital swasta di Madinah selamat pulang ke tanah air pada Khamis.

Hasmah Hamid, 62, tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di Kuala Nerus pada jam 5.30 petang.

Iklan
Iklan

Kepulangan ibu tunggal itu disambut dengan tangisan kegembiraan anak-anaknya bersama 50 ahli keluarga lain yang menantikan kepulangan wanita tersebut.

Sebelum ini, Hasmah dimasukkan ke hospital berkenaan akibat jangkitan kuman pada paru-paru selepas selesai menunaikan ibadah umrah yang disertai pada 30 April lalu.

Iklan

Bagaimanapun Hasmah yang dimasukkan ke hospital swasta untuk mendapatkan rawatan terpaksa ditidurkan selama 40 hari akibat jangkitan kuman berkenaan.

Anaknya, Zuraini Sapi'n, 32, berkata, ibunya dibenarkan keluar dari hospital itu selepas pihak hospital bersetuju memberi pengurangan bil dengan hanya membayar sebanyak 112,000 riyal (RM136,022.39).

Iklan

"Untuk bil rawatan sahaja sebanyak 250,000 riyal (RM310,000) diperlukan. Namun saya dan keluarga berasa lega apabila berjaya mengumpul sebanyak RM160,000 hasil sumbangan daripada mereka yang simpati dengan nasib menimpa ibu.

"Kami sedar wang sumbangan itu masih tidak cukup untuk membayar bil hospital sedangkan masa semakin suntuk. Jadi kami bersetuju adik bongsu kami, Mohd Asdi Awang @ Abidin, 28, yang pergi dahulu ke Madinah untuk mengubat kerinduan ibu.

"Alhamdulillah, tanpa disangka-sangka, pihak hospital turut bersimpati dengan nasib kami dan akhirnya setuju memberi pengurangan bil," katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada Jumaat.

Zuraini juga melahirkan rasa syukur kerana urusan Hasmah dipermudahkan dan ibunya sudah selamat tiba di rumahnya di Chendering di sini dalam keadaan sihat.

"Semuanya dipermudahkan oleh ALLAH SWT. Kami berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang sudi menghulurkan bantuan dari segi kewangan serta sokongan emosi kepada kami sekeluarga," ujarnya.

Pada 10 Julai lalu, tiga beradik merayu sumbangan untuk membawa pulang ibu mereka yang ketika itu terlantar sakit di sebuah hospital swasta di Madinah selepas menerima rawatan.

Hasmah sepatutnya pulang ke rumah mereka di Chendering di sini pada 12 Mei lalu selepas selesai menunaikan ibadah umrah yang disertai pada 30 April.

Bagaimanapun wanita itu yang pergi ke Tanah Suci bersama sebuah syarikat pakej umrah jatuh sakit pada 9 Mei di Madinah dan dimasukkan ke hospital swasta untuk mendapatkan rawatan.