Final Piala FA: Solari ada formula bolosi benteng City Boys

Iklan
Solari (kiri) bersama pengendali KL City FC, Bojan Hodak pada sidang media berkenaan.

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) ada formula tersendiri bagi membolosi benteng Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada aksi final Piala FA 2023 di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu.

Pengendali skuad Harimau Selatan, Esteban Solari berkata, setelah mengharungi dua aksi Liga Super berdepan skuad The City Boys, pihaknya telah dapat melihat ruang yang boleh dimanfaatkan bagi membolosi taktikal ‘parkir bas’ pelawat.

Iklan
Iklan

"Lagi pun bagi kami aksi final ini merupakan aksi yang penting dan kami mahu menjadikan ia sebagai satu detik yang terbaik.

"Oleh itu, kami juga sudah memiliki formula terbaik yang boleh digunakan untuk mengharungi perlawanan seperti ini (final) berkenaan biarpun berdepan dengan taktikal 'parkir bas' sekali lagi...perlu bertenang dan bersabar.

Iklan

"Yang penting, kita ada pemain-pemain terbaik hasil gabungan pemain muda dan senior bagi mengharungi aksi berintensiti tinggi seperti ini dan saya mahu pastikan pasukan ini memberikan aksi terbaik di pentas final nanti,” katanya.

Solari berkata demikian pada sidang media sempena aksi final Piala FA 2023 antara JDT dan KL City FC yang dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 22 Julai 2023.

Iklan

Tambah Solari, pihaknya gembira apabila berpeluang beraksi di hadapan penyokong sendiri pada aksi final kali biarpun belum mengetahui status skuad Harimau Selatan itu sama ada sebagai pasukan tuan rumah atau pasukan pelawat.

Bagaimanapun katanya, berdasarkan maklumat yang diterima, 97 peratus tempat duduk akan diduduki oleh penyokong-penyokong JDT pada aksi final berkenaan.

"Kita teruja apabila dimaklumkan dapat beraksi di sini (Stadium Sultan Ibrahim), namun sebenarnya, kita belum ada idea pemain mana yang akan berada dalam kesebelasan utama.

"Lagi pun, formation (formasi) tak tentu, adakalanya jadi 3-4-3, 3-5-2, 3-3-2-1 dan sebagainya.

"Cuma kita pastikan kesemua pemain-pemain kita bersedia untuk beraksi,” katanya.

Sementara itu tonggak pertahanan import, Jordi Amat berikrar mahu memastikan gawang JDT tidak dibolosi lagi seperti perlawanan terdahulu.

Bagaimanapun katanya, kesemua pemain terutamanya di benteng pertahanan perlu sentiasa berwaspada dengan serangan balas dan set piece daripada skuad The City Boys itu.

"Mereka (KL City FC), sangat bahaya dari segi set piece dan serangan balas. Oleh itu, semua pemain perlu sentiasa fokus di sepanjang perlawanan.

"Selain itu, saya dapati mereka juga ada pemain tengah yang baik, pemain sayap yang pantas bagi mengancam benteng pertahanan kita.

"Oleh itu, kita perlukan semua pemain untuk beraksi sebagai satu pasukan pada aksi final kali ini,” katanya.