KECEDERAAN pergelangan tangan telah meragut impian penerjun elit negara, Nur Dhabitah Sabri untuk mencipta kegemilangan pada Kejohanan Akuatik Dunia 2023 di Fukuoka, Jepun, sekali gus terlepas tiket layak lebih awal ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Beliau berkata, kecederaan yang dialaminya sejak beberapa bulan lepas, telah menjejaskan peluangnya untuk menguji disiplin terjunan pilihan dengan lebih awal berikutan perlu menjalani proses pemulihan yang agak lama.
Nur Dhabitah yang menampilkan aksi cemerlang pada pusingan kelayakan apabila menamatkan saingan di kedudukan kelima, bagaimanapun terkandas di separuh akhir acara 3 meter (m) papan anjal individu wanita di kejohanan itu.
"Ketika saingan separuh akhir, saya mula rasa sakit di pergelangan tangan tetapi tetap mahu tamatkan kelima-lima terjunan.
"Saya bukan sahaja berdepan dengan kecederaan tetapi perlu juga mengekalkan kekuatan mental. Melihat rakan-rakan lain berlatih dan saya tidak boleh lakukan lebih daripada sepatutnya, ia sangat mengecewakan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Bercerita mengenai kecederaan dialaminya, atlet berusia 24 tahun itu berkata, beliau terpaksa mengambil tiga suntikan di tangan setiap minggu selama tiga minggu bagi mempercepatkan proses pemulihan sebelum mengikuti latihan di China dan ke Jepun untuk menyertai Kejohanan Dunia.
"Saya sangat berterima kasih kepada doktor yang membantu saya baik dengan cepat sebelum berlepas ke China. Sepatutnya seminggu sekali (suntikan) tetapi sebab nak cepat pulih, kita putuskan untuk suntik tiga kali seminggu selama tiga minggu,” katanya.
Menurut atlet kelahiran Kuala Lumpur itu, beliau juga tidak dapat menyertai Piala Dunia 2023 di Montreal, Kanada pada awal Mei lepas keranan kecederaan dialaminya sekali gus tidak berpeluang menggunakan papan anjal dengan teknologi terkini yang mula digunakan pada kejohanan itu.
Justeru, pemenang pingat emas Kejohanan Terjun Piala Asia 2019 itu mengakui bergelut untuk menyesuaikan diri dengan papan anjal baharu di Fukuoka berbanding penerjun lain yang telah beraksi di Montreal.
Pada aksi separuh akhir semalam, Nur Dhabitah berada dalam kelompok enam terbaik selepas tiga terjunan namun, kesilapan pada terjunan keempat menyaksikan beliau terperosok ke posisi ke-16 sebelum memperbaiki kedudukan pada terjunan terakhir untuk menamatkan saingan di tempat ke-15.
Nur Dhabitah mengutip keseluruhan 285.45 mata pada saingan separuh akhir berbanding 303.55 mata pada aksi kelayakan.
Penerjun China mendominasi pusingan separuh akhir menerusi Chen Yiwen yang mengumpul 363.70 mata diikuti rakan senegara, Chang Yani kedua dengan 354.75 mata manakala wakil tuan rumah, Sayaka Mikami ketiga dengan 340.55 mata.
Hanya 12 penerjun yang layak ke final acara berkenaan berjaya meraih tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Untuk rekod, Nur Dhabitah yang berusia 17 tahun ketika itu menduduki tempat kesembilan acara 10m platform wanita dan menamatkan final 3m papan anjal seirama wanita di kedudukan kelima bergandingan dengan Cheong Jun Hoong pada temasya Olimpik Rio 2016.
Edisi berikutnya di Tokyo, Nur Dhabitah lebih cemerlang, namun tidak bernasib baik apabila menamatkan saingan 3m papan anjal individu wanita di tempat keempat, sekali gus terlepas pingat Olimpik pertamanya. - Bernama