Lelaki mengamuk, tikam orang ramai di stesen kereta api

Iklan
Pegawai polis menyiasat kes amuk lelaki menikam orang ramai di stesen kereta api bawah tanah Sillim, Seoul. - AFP

SEOUL - Seorang maut dan tiga cedera selepas seorang lelaki mengamuk berhampiran stesen kereta api bawah tanah di ibu negara Korea Selatan, Seoul pada Jumaat.

Polis berkata, serangan berlaku berhampiran stesen kereta api bawah tanah Sillim di barat daya Seoul dan suspek berjaya ditahan di tempat kejadian.

Iklan
Iklan

"Suspek adalah seorang lelaki berumur lingkungan 30-an dan dia tidak mabuk. Kami sedang menyoal siasatnya mengenai motifnya," katanya.

Agensi berita Yonhap melaporkan bahawa serangan itu berlaku berhampiran Pintu Keluar 4 stesen itu pada jam 2.07 petang (waktu tempatan).

Iklan

Video disiarkan di saluran YouTube stesen televisyen tempatan YTN menunjukkan anggota pasukan kecemasan berpakaian jingga berlari ke arah kejadian membawa pengusung.

Selain itu, polis turut mengepung kawasan tersebut dengan pita kuning.

Iklan

"Lelaki itu menjerit bahawa dia tidak mahu hidup lagi semasa ditahan polis,” lapor YTN.

Saksi berkata, suspek menikam seorang lelaki yang bercakap melalui telefon di belakang beberapa kali sebelum melarikan diri dan menyerang ramai orang.

"Keempat-empat mangsa adalah lelaki," lapor akhbar Chosun Ilbo.

Kebiasaannya, Korea Selatan dianggap negara paling selamat, dengan kadar pembunuhan hanya 1.3 bagi setiap 100,000 orang pada 2021. - AFP