SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) hanya bertanding di 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) itu pada 12 Ogos depan.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, BN memenangi lima daripada 56 kerusi DUN di Selangor dengan dua daripada penyandang dikekalkan iaitu Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam, Datuk Rizam Ismail (DUN Sungai Air Tawar) dan Ketua Pemuda UMNO Selangor, Datuk Mohd Imran Tamrin di DUN Sungai Panjang.
Tiga daripadanya pula digugurkan iaitu Datuk Mohd Shamsudin Lias (Sungai Burong), Zakaria Hanafi (Semenyih) dan Rosni Sohar (Hulu Bernam).
Kerusi DUN Sungai Burong dan Semenyih masing-masing ditandingi oleh Naib Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, Mohamad Khir Ramli dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Hulu Langat, Wan Zulaika Anua, manakala BN tidak mempertahankan kerusi DUN Hulu Bernam.
Sebaliknya, calon BN bakal bertanding di DUN Batang Kali dengan menampilkan Ketua UMNO Bahagian Hulu Selangor, Datuk Mohd Isa Abu Kasim.
Selain lima kerusi dimenangi PRU14 lalu, parti itu juga bertanding di tujuh lagi kerusi lain di negeri ini selepas mengadakan rundingan dan memuktamadkan pengagihan kerusi dengan PH.
Tujuh kerusi itu ditandingi Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin di Gombak Setia dan Timbalannya, Datuk Johan Abdul Aziz di Dusun Tua.
Calon lain ialah Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor, Datuk Jahaya Ibrahim di DUN (Jeram), Ketua UMNO Bahagian Selayang, Datuk Hasnal Rezua Merican Habib Merican (Kuang) dan Ketua UMNO Bahagian Sepang Noorazli Said (Dengkil).
Dua lagi calon turut dipertaruhkan, Ketua UMNO Bahagian Kapar, Datuk Mohd Roslee Abd Hamid (Selat Klang) dan Ketua Pemuda UMNO Kuala Langat, Mohd Al Hafizi Abu Bakar (Sijangkang).
Majis pengumuman calon BN disempurnakan Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Jumaat malam.
ARTIKEL BERKAITAN:
BN umum 107 calon tanding PRN enam negeri
PRN: Nor Hafizah sekali lagi diberi kepercayaan tanding
PRN: Tengku Zafrul akur keputusan pucuk pimpinan
PRN: BN pertaruh semula Tok Mat, Reezal Merican
PRN: Isteri, anak Isa Samad calon BN di Juasseh, Bagan Pinang
Nama Tengku Zafrul tak disenarai UMNO Selangor - Tok Mat
PRN: Bekas Timbalan Menteri tanding DUN Ajil
PRN: Dua bekas Menteri Besar Terengganu pertahan kerusi DUN
BN pertaruh calon 'heavyweight', status Tengku Zafrul masih samar-samar