Malaysia kini dipandang hebat oleh negara luar - Anwar

Iklan
Anwar ketika berucap pada program Hulu Kelang Bersama PMX di Padang Rumah Pangsa PKNS AU2, Taman Keramat pada Jumaat.

HULU KELANG - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan prestasi Malaysia semakin baik sejak beliau memimpin negara di bawah Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, selain menerima banyak jemputan luar, beberapa pemimpin luar negara juga bakal mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia antaranya Presiden Filipina, Bongbong Marcos dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.

Iklan
Iklan

"Ini pertama kali Presiden Filipina datang setelah berpuluh tahun tak berbuat demikian. Awal bulan depan, Sultan Brunei turut akan berangkat ke Malaysia.

"Orang pandang hebat Malaysia sekarang. Saya diundang ke merata negara termasuk Amerika Syarikat, Holand dan Arab Saudi, tetapi saya tak pergi melainkan negara ASEAN yang perlu saya 'cover' semua," katanya pada program Hulu Kelang Bersama PMX di Padang Rumah Pangsa PKNS AU2, Taman Keramat di sini pada Jumaat.

Iklan

Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu turut menepis dakwaan pembangkang yang memainkan isu beliau tidak diterima oleh kerajaan Arab Saudi.

Iklan

"Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman tulis surat yang ditandatangani sendiri olehnya, menjemput saya membuat lawatan rasmi tetapi saya belum dapat berikan tarikh lagi.

"Selain itu, minggu lalu, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan hubungi saya untuk buat lawatan rasmi kerana sebelum ini ke sana bagi lawatan gempa bumi," katanya.

Beliau berkata, hubungan baik antara negara penting bagi membuka peluang ekonomi seperti kejayaan menarik pelaburan daripada syarikat kenderaan elektrik, Tesla Inc ke Malaysia.

"Pembangkang main isu yang mereka terlebih dahulu jumpa dan jemput Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk. Betul kamu dah jemput tapi dia tak datang.

"Elon Musk yang hendak buat panggilan video untuk bercakap dengan saya dan beliau setuju buka ibu pejabat Tesla di Cyberjaya.

"Ini kerana keyakinan beliau kepada Menteri Besar Selangor. Sebab itu, kita mahu kekalkan Amirudin sebagai MB Selangor," katanya.