SHAH ALAM - Puluhan pekerja asing di sebuah kilang barang lusuh di Bukit Kemuning di sini sanggup memanjat pagar dan bersesak hanya kerana mahu meloloskan diri daripada pemeriksaan polis, pada Jumaat.
Malah ada warga asing yang tergamak mendakwa kononnya mereka penuntut universiti awam dan ke kilang itu untuk bertemu rakan.
Itu antara situasi yang berlaku semasa serbuan dijalankan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Task Force Pejabat Strategik Nasional (NSO) Majlis Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran (MAPO).
Bagaimanapun, tindakan itu berjaya dipatahkan pihak polis hasil tindakan pantas dilaksanakan.
Ketua Penolong Pengarah D3 Atipsom, JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, Op Bersepadu Pintas dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam itu dijalankan kira-kira jam 4 petang.
Menurutnya, dua pekerja warga Myanmar bawah umur lelaki dan perempuan masing-masing berusia 17 dan 16 tahun yang disyaki dieksploitasi diselamatkan.
"Seramai 52 warga asing termasuk dua wanita berusia lingkungan 22 hingga 45 tahun ditahan untuk tindakan di bawah Akta Imigresen 1969/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
"Warga asing yang ditahan terdiri daripada 22 warga Myanmar, Bangladesh (16), China (11), Kemboja (2) dan seorang Nigeria," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Menurut Fadil, pihaknya menahan enam lelaki warga China berumur lingkungan 25 hingga 42 tahun yang berperanan sebagai pengurus kilang serta pembantu pengurus.
Tambahnya, kedua-duanya disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Atipsom 2007.
"Siasatan awal mendapati kilang itu tidak mempunyai lesen perniagaan dan dipercayai beroperasi kira-kira setahun.
"Mangsa dan semua tangkapan warganegara asing merupakan pekerja kilang tersebut," ujarnya.
Katanya lagi, kesemua tangkapan direman 14 hari sehingga 4 Ogos untuk siasatan lanjut, manakala dua mangsa yang diselamatkanmemperolehi Perintah Perlindungan Interim (IPO) selama 21 hari sehingga 11 Ogos.
"Operasi ini dijalankan bagi mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang dan ekploitasi buruh paksa," katanya.