KYLIAN Mbappe tidak disenaraikan dalam skuad Paris St Germain (PSG) untuk siri jelajah pramusim di Asia sekali gus menguatkan spekulasi bahawa pemain itu akan dijual.
Hubungan antara Mbappe dan PSG menjadi tegang sejak penyerang Perancis itu tidak akan memperbaharui kontraknya yang akan tamat pada akhir musim depan dan meninggalkan Paris secara percuma.
Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi berkata, mereka tidak akan melepaskannya secara percuma selepas kelab itu membelanjakan €180 juta (RM914 juta) untuk menandatanganinya.
Menurut laporan media, kelab Paris itu akan menjual pemain berusia 24 tahun itu kerana mereka percaya dia bersetuju dengan syarat untuk menyertai Real Madrid secara percuma pada musim panas akan datang.
PSG memenangi sembilan daripada 11 kejuaraan Ligue 1 terakhir, tetapi masih gagal meraih trofi Piala Juara-Juara.
PSG tersingkir pada pusingan 16 terakhir tahun ini apabila ditewaskan Bayern Munich dan gagal menjaringkan gol dalam kedua-dua perlawanan.
Penyerang Brazil, Neymar yang turut dikaitkan meninggalkan kelab itu tetap disenaraikan untuk perlawanan pra musim menentang pemain Al Nassr.
PSG juga akan menentang Cerezo Osaka dari liga Jepun dan kelab Serie A Inter Milan sebelum bertandang ke Korea Selatan untuk menentang Jeonbuk Motors.