PENGENDALI Manchester United, Erik ten Hag berkata, kelab itu sedang cuba sedaya upaya untuk membawa penyerang yang berkualiti ke Old Trafford sebelum musim baharu Liga Perdana Inggeris.
United mula melakukan usaha membawa penyerang baharu pada musim panas ini selepas kehilangan Cristiano Ronaldo semasa Piala Dunia lalu.
Penjaga gol, Andre Onana dan pemain tengah, Mason Mount sudah pun berjaya direkrut United dengan perbelanjaan besar untuk mendapatkan tandatangan mereka.
Namun, pemain penyerang masih belum ditemui United dan usaha itu menjadi rumit kerana keperluan untuk United mematuhi sekatan Financial Fair Play (FFP).
"Kami melakukan banyak perkara di Man Utd. Kami melakukan segala-galanya untuk mendapatkan orang yang sesuai.
"Saya sedar tentang kewangan dan tentang FFP, tetapi di seluruh United kami melakukan segala-galanya untuk mencapai sasaran kami," katanya.
Dalam pada itu,Ten Hag juga melucutkan lilitan kapten Harry Maguire awal minggu ini setelah pemain itu hanya diberikan peluang dalam lapan permulaan Liga Perdana musim lalu.
Ia menyebabkan Maguire kecewa dan dikaitkan dengan perpindahan ke kelab lain, namun Ten Hag menjelaskan pemain tengah England itu kekal sebagai bahagian penting dalam skuad itu.
"Dia pemain penting, dan dia kekal begitu.Kami mempunyai empat pertahanan tengah dan kami memerlukan keempat-empat mereka. Kami sangat gembira mempunyai Harry dalam skuad kami," katanya.