LIONEL Messi tidak menunggu lama untuk mencipta sensasi di kelab baharunya, Inter Miami apabila meledak gol kemenangan menewaskan Cruz Azul 2-1 dalam aksi Piala Liga di Stadium DRV PNK pada Sabtu.
Messi tidak berada dalam kesebelasan utama pasukan dan hanya dimasukkan pada minit ke-54 bersama-sama bekas rakan sepasukan Barcelona, Sergio Busquets ketika Miami sedang mendahului permainan 1-0.
Iklan
Iklan
Bagaimanapun, pemain sayap Cruz Azul, Uriel Antuna berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-65 untuk mengikat perlawanan.
Messi membuktikan magisnya apabila menjaringkan gol kemenangan menerusi sepakan percuma pada penghujung perlawanan sekali gus menggamatkan stadium.
"Saya tahu perlu menjaringkan gol kerana ia adalah minit terakhir perlawanan. Saya mahu menjaringkan gol supaya kami tidak perlu bermain penentuan penalti.
"Ia sangat penting bagi kami untuk mendapatkan kemenangan ini, ia adalah kejohanan baharu, ia akan memberi kami keyakinan untuk bergerak ke hadapan," kata Messi.
Juara Piala Dunia dan pemenang tujuh kali Ballon d'Or itu menyertai Miami selepas kontraknya bersama Paris Saint-Germain tamat Jun lalu.