Operator pengeluaran perlu dipanggil pakar pengeluaran

Iklan
Mahfuz (kiri) ketika melakukan lawatan di Karnival Kerjaya, hari ini.
IPOH - Majikan diminta menjenamakan semula jawatan Operator Pengeluaran kepada Pakar Pengeluaran bagi menarik minat ramai untuk bekerja dalam sektor berkenaan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, sebelum ini individu yang bekerja sebagai operator pengeluaran dipanggil dengan pelbagai gelaran sehingga ada yang malu untuk bekerja.

"Kalau dulu orang tengok operator pengeluaran, saya ingat zaman dahulu bukan saya hina, tapi mereka panggil pekerja kilang ini minah kilang sedangkan jawatan adalah operator.

"Sekarang tak lagi, jadi kita kena ‘upgrade’ kepada pakar pengeluaran. Ini satu pengiktirafan kepada mereka dan akan menarik minat mereka kerana rasa dihargai sebagai penyumbang kepada pembangunan ekonomi dalam negara kita," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan di Karnival Kerjaya di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru di sini, hari ini.

Menurutnya, sudah sampai masanya majikan bersama Jabatan Tenaga Kerja (JTK) berfikir untuk menjenamakan semula jawatan tertentu yang dirasakan bersesuaian dalam menarik minat orang ramai bekerja.

"Penjenamaan semula ini sangat perlu mengikut kesesuaian dengan zaman hari ini di mana pemikiran anak muda hari ini berbeza dengan pemikiran anak muda zaman dahulu.

"Ini akan meningkatkan lagi kemahiran dan saya percaya selepas ini banyak kerja-kerja yang boleh dijenamakan semula jawatan dalam diberi pengiktirafan,” katanya.

Sementara itu, Mahfuz turut mengumumkan JTK Perak berjaya melepasi sasaran pendapatan pekerjaan yang disasarkan sebanyak 17,200 bagi tahun ini apabila berjaya mencatatkan seramai 17,642 jawatan pekerjaan sehingga 30 November.

"Ia melebihi pencapaian 103 peratus melalui inisiatif penempatan melalui portal Jobs Malaysia, karnival pekerjaan, temu duga terbuka serta penamaan penempatan golongan khas," katanya.