Program Temu Anwar di universiti tiada kena-mengena PRN, kata menteri

Iklan
Mohamed Khaled (tengah) pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Program 'Smart Home Schooling Tuitoin' Sekolah-sekolah Menengah Kota Tinggi 2023 di SMK Tan Sri Jaafar Albar, pada Sabtu.

KOTA TINGGI - Program Temu Anwar yang merupakan sesi perjumpaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama anak muda di universiti tidak mempunyai sebarang kaitan dengan pilihan raya negeri (PRN), Ogos depan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, program berkenaan diadakan bagi membolehkan pemimpin nombor satu negara berkongsi hala tuju pembangunan dengan golongan mahasiswa.

Iklan
Iklan

"Lawatan PM itu tiada kena-mengena dengan PRN, ia untuk beliau berkongsi mengenai hala tuju negara dan beliau juga mahu menerapkan nilai-nilai yang boleh membantu menyumbang kepada kejayaan negara bermula dengan pelajar.

"Dialah (Anwar) satu-satunya PM yang sangat mengambil berat mengenai pelajar dan orang muda," katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Program 'Smart Home Schooling Tuitoin' Sekolah-sekolah Menengah Kota Tinggi 2023 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tan Sri Jaafar Albar di sini, pada Sabtu.

Iklan

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai gesaan seorang ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) supaya Anwar menumpukan sepenuh perhatian ke arah menangani kesusahan rakyat dan ekonomi negara berbanding membuat lawatan ke kampus untuk bertemu pelajar.

Ahli Parlimen Besut, Che Mohamad Zulkifly Jusoh dilaporkan berkata, sesi perjumpaan Anwar dengan pelajar universiti boleh dilihat sebagai program kempen politik secara terbuka di universiti, yang bertujuan untuk mempengaruhi undi anak muda menjelang PRN tidak lama lagi.

Iklan

Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden UMNO berkata, ucapan Anwar dalam program berkenaan menyentuh tentang apa yang perlu dipersiapkan oleh setiap pelajar yang dilihat bakal menjadi penyumbang kepada masa depan negara.

"Kalau kita dengar ucapannya, antaranya dia cakap pelajar ini selain daripada kritis, dia juga mahu pelajar supaya kreatif dan mestilah memiliki dan menggunakan yang rasional.

"Masa depan negara bergantung kepada kita dapat lahirkan bukan sahaja pelajar dengan kekuatan fizikal tetapi kekuatan pemikiran dan kekuatan kerohanian juga.

"Ini tiga perkara yang penting dan saya ingat ia selari dengan konsep Malaysia Madani yang kita hendak capai dan semua itu, kalau saya pun, saya akan cakap begitu kepada pelajar," katanya.