SUNGAI BULOH - Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangnya terbabas dalam kejadian di Kilometer 447.5 arah utara Lebuhraya Utara Selatan di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Shafa'aton Abu Bakar berkata, mangsa, Rawi Abdullah berasal dari Tanjung Minyak, Melaka dipercayai menunggang sendirian motosikal jenis Yamaha Lagenda ketika kejadian.
Iklan
Iklan
"Kemalangan dipercayai berlaku kira-kira jam 10.15 malam, siasatan awal dijalankan mendapati mangsa terbabas sendiri lalu terjatuh di lorong perlahan, tempat kejadian juga didapati tiada kamera rakaman litar tertutup (CCTV).
"Mangsa dipercayai mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat," katanya.
Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.