NILAI - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa melibatkan rampasan dadah jenis 3,4-Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dan ketamin seberat 250 kilogram bernilai RM18.2 juta.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Zazuli Johan berkata, rampasan dilakukan selepas pihaknya menyita 18 buah kotak di Kompleks Kargo Udara Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA), Sepang di Selangor pada 18 Julai lalu.
"Hasil pemeriksaan telah menjumpai dua belas kotak mengandungi bungkusan plastik lut sinar yang mengandungi bahan ketulan kristal disyaki dadah berbahaya jenis MDMA seberat 232.05 kilogram yang bernilai RM17 juta.
"Turut ditemui satu kotak mengandungi bungkusan plastik lut sinar yang mengandungi bahan serbuk kristal putih disyaki dadah berbahaya jenis ketamin seberat 20.55 kilogram yang bernilai RM1.2 juta," katanya pada sidang akhbar di Cawangan Narkotik JKDM di Kampung Jijan di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, pemeriksaan ke atas baki lima kotak telah menjumpai cakera brek kereta.
Menurutnya, modus operandi sindiket adalah dengan cara mengikrarkan barang yang mengandungi dadah sebagai aksesori kereta bagi mengaburi pihak berkuasa.
Ujarnya, siasatan awal mendapati, dagangan tersebut diimport dari sebuah negara di Eropah dan mendarat di Kompleks Kargo KLIA sebagai destinasi terakhir.
"Hasil risikan mendapati pengimport menggunakan maklumat palsu dalam dokumen pengimportan menyukarkan tangkapan dibuat ke atas pengimport dagangan tersebut.
"Bagaimanapun siasatan masih berjalan untuk mengesan suspek di bawah Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Sementara itu katanya, rampasan dadah jenis MDMA terbabit merupakan paling terbesar dalam sejarah JKDM.
Tambahnya, ia mampu menghasilkan pil ekstasi yang dianggarkan seberat 1.5 tan.
"Kali pertama dadah jenis MDMA ini kita rampas pada Mac tahun ini yang mana ketika itu ia diisytiharkan sebagai penapis air bagi mengaburi pihak berkuasa," katanya.