SHAH ALAM - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mempersoalkan kredibiliti Unit Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) yang bernaung di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital Malaysia kerana meluluskan permit persembahan kumpulan The 1975.
Ketua Penerangan Pejuang, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, ia susulan perbuatan luar tabie secara terbuka di atas pentas di hadapan ribuan penonton serta video-video viral yang jelas memperagakan kebiadaban kumpulan muzik dari Britain itu.
Katanya, sedangkan sebelum ini sudah terdapat insiden-insiden terkutuk yang sama oleh kumpulan tersebut di Dubai pada tahun 2019.
"Pejuang mengutuk sekeras-kerasnya perlakuan Matt Healy dan The 1975. Oleh itu, tindakan segera tanpa kompromi perlu diambil kerana keceluparan mereka mempersoal kerajaan serta pihak berkuasa atas isu-isu berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
"Kata-kata kesat yang dihembur secara terbuka serta berkelakuan mabuk atas pentas juga jelas menunjukkan kumpulan ini tidak menghormati undang-undang Negara," jelasnya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Pada Khamis, persembahan The 1975 di Good Vibes Festival 2023 dihentikan selepas vokalisnya Matty Healy menunjukkan pelbagai aksi kurang sopan di hadapan peminat.
Beliau didakwa memegang botol arak ketika berada di atas pentas selain membuat ucapan menghina undang-undang Malaysia berkaitan LGBT.
Tambah Muhammad Rafique, pihaknya turut menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya segera menyenaraihitamkan kumpulan The 1975 dan Matt Healy daripada masuk ke Malaysia.
"Perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana Malaysia adalah negara yang agama rasminya adalah Islam, berbilang kaum serta menjunjung sensitiviti nilai-nilai ketimuran.
"Mesej yang jelas mesti dihantar agar tiada lagi perlakuan jelik dan tidak senonoh sebegini berlaku dalam Negara," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:
Aksi sangat biadab The 1975: Fahmi minta penganjur Good Vibes Festival 2023 beri penjelasan
Aksi sangat biadab The 1975: Pengunjung boleh tebus tiket kemasukan
Henti konsert The 1975 bukti kerajaan tegas - Penganalisis
Aksi sangat biadab The 1975: Polis panggil penganjur
Festival Good Vibes dibatalkan serta-merta - Fahmi