Peruntukan tambahan RM11.5 juta naik taraf Pasar Taiping

Iklan
Sebanyak RM11.5 juta peruntukan tambahan diluluskan KPKT bagi membina semula Pasar Warisan Negara di Taiping.

TAIPING - Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM11.5 juta bagi membangunkan Pasar Taiping sebagai Pasar Warisan Negara.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, pasar yang dibangunkan pada tahun 1884 itu kini dibina semula dengan mengekalkan ciri warisannya termasuk struktur, reka bentuk dan warnanya.

Iklan
Iklan

"Pasar Taiping mengalami kerosakan teruk. Sebanyak 115 tiang kayu mengalami kerosakan akibat anai-anai. Perkara ini menyebabkan kita terpaksa mengambil langkah progresif untuk menyelamatkan binaan bersejarah ini.

"Perbincangan dengan Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dan Jabatan Warisan Negara telah dilakukan bagi mengekalkan ciri-ciri pasar ini dengan menggunakan material asal iaitu kayu balau," katanya kepada pemberita pada lawatan kerjanya ke daerah Taiping di sini pada Sabtu.

Iklan

Menurut beliau, kerja-kerja naik taraf arked siang malam, pasar baharu dan pasar lama seluas 2229.6 meter persegi itu dijangka siap Ogos tahun hadapan sempena sambutan 150 tahun Taiping sebagai Bandar Warisan.

"Sekiranya kontraktor tidak dapat sempurnakan bangunan ini mengikut jadual boleh dikenakan denda sebanyak RM1,287 sehari. Kontraktor menyasarkan Jun depan namun kita beri kelonggaran sebelum Kemerdekaan (Hari Kebangsaan).

Iklan
Kor Ming (empat dari kiri) melawat tapak Pasar Taiping yang dibina semula dengan mengekalkan warisan sejarahnya yang berusia 139 tahun.

"Kita yakin kontraktor akan pastikan kerjanya siap sepenuhnya berikutan KPKT berhasrat menjemput Sultan Perak mencemar duli merasmikan Pasar Warisan Negara pertama ini," katanya.

Pada program itu, Kor Ming turut mengumumkan beberapa peruntukan tambahan bagi 39 projek penyelenggaraan dan naik taraf di kawasan MPT membabitkan RM22 juta.

"KPKT meluluskan sebanyak RM250,000 bagi kerja-kerja menggantikan bumbung pasar serta menaik taraf empat banglo Rumah Rehat di Bukit Larut sebanyak RM820,000.

"Selain itu, sebanyak RM500,000 diluluskan bagi menaik taraf Dataran Warisan Taiping. Kesemua ini dilihat sebagai usaha penting membantu penjanaan ekonomi setemlat dan meningkatkan kesejahteraan rakyat," katanya.

Kor Ming berkata, jumlah keseluruhan peruntukan pembangunan oleh Jabatan Kerajaan Tempatan bagi semua pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri Perak telah diluluskan sebanyak RM51.5 juta sehingga Julai ini.