Kerajaan imbangi eksport, import bekalan makanan negara

Iklan
Mohamad (tiga dari kiri) menyampaikan bantuan baja kepada penanam jagung di Tanah Merah.

TANAH MERAH - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam usaha mengimbangi kadar import serta eksport sumber bekalan makanan dalam negara.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, langkah berterusan dilakukan itu sejajar dengan objektif Dasar Agromakanan Negara 2021-2023 (DAN 2.0) iaitu meningkatkan pertumbuhan pendapatan pengeluar makanan dan kualiti hidup yang lebih baik.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, kebergantungan negara terhadap pengimportan barangan makanan masih tinggi terutama beras dan daging.

"Kami menggalakkan orang ramai terutama anak muda menternak lembu dan penternak sedia ada diminta meningkatkan pengeluaran hingga 100 peratus kerana import daging terlalu tinggi daripada India atau lembu hidup dari Thailand.

Iklan

"Bagi bekalan beras, kita perlu berusaha lebih kerana dibimbangi terjejas jika negara pengeksport seperti India dan Vietnam menghentikan eksport mereka bagi menampung keperluan makanan rakyat di negaranya sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas menghadiri Walk About Projek Kelompok Tanaman Jagung di Kampung Paloh di sini pada Sabtu.

Iklan

Turut hadir Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Kelantan, Norbahani Zakaria.

Menurut Mohamad, bagi tujuan itu juga kerajaan menyediakan infrastruktur seperti sistem pengairan dan jalan di kawasan sawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berjumlah RM3 bilion bagi menjayakan projek penanaman padi lima musim dalam dua tahun berskala besar di negara ini.

Sebelum ini, akhbar melaporkan kebergantungan terhadap import bekalan makanan terus meningkat dengan nilainya mencecah RM75.5 bilion tahun lalu.

Import makanan mencatat nilai RM63.6 bilion pada 2021, manakala setakat Januari hingga April tahun ini mencecah RM25.4 bilion.

Dalam pada itu, menurut Mohamad, projek tanaman jagung di Kampung Paloh, Tanah Merah yang berkeluasan 32 hektar bermula pada tahun 2007 diusahakan dengan pelbagai jenis tanaman seperti jagung, kacang panjang, labu dan ubi.

"Projek kelompok ini mendapat bimbingan sepenuhnya daripada Jabatan Pertanian Negeri Kelantan dan menerima peruntukan berjumlah RM201,245 sejak tahun 2014 daripada Jabatan Pertanian yang merangkumi insentif penyediaan kawasan, sistem pengairan dan input pertanian.

"Jabatan Pertanian turut melaksanakan pemantauan termasuklah dari segi khidmat nasihat berkaitan penyakit dan perosak,” ujar beliau.