Harimau Malaya tak gentar hadapi pasukan kuat

Iklan
Skuad Harimau Malaya bakal berdepan Mesir dan China pada September.

HARIMAU Malaya tidak gentar untuk menghadapi pasukan lebih kuat dalam perlawanan persahabatan pada September ini sekali gus menjadi persediaan terbaik menghadapi Piala Asia 2023 di Qatar, Januari depan.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed berkata, badan induk bola sepak itu merangka perlawanan persahabatan dengan pasukan berprofil tinggi seperti China dan Mesir.

Iklan
Iklan

Menurutnya, FAM telah menghubungi kedua-dua pasukan berkenaan dan China sudah menyatakan persetujuan, manakala perbincangan sedang dilakukan dengan Mesir.

"China boleh dikatakan ketika ini sudah mengesahkan akan bertemu Harimau Malaya, namun Mesir pula dalam perbincangan lanjut.

Iklan

"Kita mahu mencari venue bersesuaian untuk mengadakan perlawanan persahabatan itu di luar negara supaya mudah untuk kedua-dua pasukan datang nanti," katanya ketika ditemui media pada Majlis Pelancaran Perlawanan Piala Agong dan Pertandingan Piala Emas Raja-Raja Tahun 2023 serta Mesyuarat Tahunan Ke-66 Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBSMM) pada Sabtu.

Berdasarkan ranking dunia, Mesir yang beraksi pada Piala Dunia 2018 berada di kedudukan ke-34 dunia sementara China dan Malaysia masing-masing di kedudukan ke-79 dan ke-137.

Iklan

Dua aksi persahabatan antarabangsa September ini penting buat skuad kebangsaan dalam mengharungi kejohanan Piala Asia selepas mencatat empat kemenangan berturut-turut dalam jendela perlawanan antarabangsa FIFA terdahulu.

Malaysia mengatasi Turkmenistan 1-0 dan Hong Kong 2-0 masing-masing di Johor pada Mac sebelum menewaskan Kepulauan Solomon 4-1 dan Papua New Guinea 10-0 masing-masing di Terengganu, bulan lepas.

Skuad bimbingan Kim Pan-gon turut dijadualkan berentap bersama tiga negara iaitu Palestin, Lubnan dan India pada Pestabola Merdeka, Oktober ini sebelum mengharungi kempen pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bermula November ini.