LANGKAWI - Seorang wanita cedera selepas sebuah bungkusan yang dibukanya meletup di belakang sebuah restoran di Jalan Pantai Cenang, dekat sini pada pagi Sabtu.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, kejadian pada jam 10.27 pagi itu mengakibatkan wanita berusia 26 tahun yang juga pemegang kad (Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu) UNHCR mengalami kecederaan di bahagian muka dan badan.
Iklan
Iklan
"Mangsa mengusahakan kedai makan tersebut dengan menyewa bahagian belakang restoran telah dibawa ke hospital menggunakan ambulan untuk menerima rawatan dan dia dalam keadaan sedar dan stabil.
"Sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) bersama Unit Pemusnah Bom dan unit anjing pengesan digerakkan ke lokasi.
"Hasil siasatan awal polis wanita berkenaan menerima satu bungkusan dan membukanya ketika berada di belakang restoran tersebut" katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Shariman berkata lagi, polis juga sedang menyiasat sama ada kejadian tersebut dilakukan oleh perseorangan ataupun berkumpulan.
Jelasnya, polis juga sedang mengesan jenis bahan letupan yang diletakkan di dalam bungkusan berkenaan dan kes tersebut kini telah disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.