PRN: PH hormati calon BN - Rafizi

Iklan
Rafizi (kanan) mengadakan sesi dialog pada Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 Bersama Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada Sabtu. - Foto Bernama

GEORGE TOWN - Pakatan Harapan (PH) menghormati calon-calon yang dikemukakan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri bulan depan, kata Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Rafizi yang juga Menteri Ekonomi berkata, kesemua calon telah melalui proses rundingan di peringkat pusat antara PH dan BN sebelum pengumuman calon, dengan parti yang dipilih bertanding di sesuatu kerusi itu mempunyai peluang lebih baik untuk menang.

Iklan
Iklan

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai calon-calon PRN untuk enam negeri yang diumumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat.

BN mempertaruhkan 31 calon di Kelantan, 27 (Terengganu), 17 (Negeri Sembilan), 15 (Kedah), 12 (Selangor) dan enam di Pulau Pinang.

Iklan

Sementara itu, diminta mengulas mengenai kehadiran bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di pentas Perikatan Nasional (PN) di Kelantan semalam, Rafizi berkata, ia hak masing-masing untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak.

Beliau berkata, PRN ini menjadi medan terbaik untuk semua membandingkan soal dasar, program dan persaingan untuk menyelesaikan masalah negara dan rakyat.

Iklan

"PRN tidak boleh dan tidak baik kalau dijadikan medan untuk bermain emosi. Jadi saya yakin sebenarnya rakyat boleh menilai, apabila Tun hadir atas pentas PN, PAS atau Bersatu," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan diadakan serentak dengan 12 Ogos sebagai hari pengundian, manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal 8 Ogos. - Bernama