Penyokong JDT, KL City banjiri Stadium Sultan Ibrahim

Iklan
Antara gelagat penonton yang hadir bagi menyaksikan perlawanan final Piala FA, JDT menentang KL City di Stadium Sultan Ibrahim malam ini.

STADIUM Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sesak dengan kehadiran penyokong yang ingin menyaksikan perlawanan akhir Piala FA, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kuala Lumpur (KL) City FC pada malam ini.

Pekarangan stadium itu bertukar menjadi 'lautan' merah biru dan merah putih dengan kehadiran penyokong yang tiba seawal jam 3 petang bagi menunggu pintu masuk stadium dibuka.

Iklan
Iklan

Penyokong JDT, Nurul Syafiqah M Sukir, 27, yang hamil enam bulan cahaya mata pertama antara yang tidak mahu ketinggalan menyaksikan secara langsung perlawanan akhir itu.

Operator kilang itu tiba di stadium bersama suami, Mohd Syafiq Mohd Yasin, 24, dan ahli keluarganya dari Batu Pahat.

Iklan

"Ini kali pertama saya datang ke Stadium Sultan Ibrahim, rasa teruja dapat menemani suami menyaksikan perlawanan akhir ini. Saya harap JDT dapat lakukan yang terbaik dan mengalahkan KL City FC sekurang-kurangnya 4-0,” katanya ketika ditemui di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Sabtu.

Tidak terkecuali penyokong KL City, dari Wangsa Maju, Kuala Lumpur, Hazerah Khairul Anwar, 34, bersama suami Farid Ikmal Shamsudin, 36, dan empat anaknya yang sanggup bermalam di sebuah hotel berdekatan.

Iklan
Antara gelagat penonton yang hadir bagi menyaksikan perlawanan final Piala FA, JDT menentang KL City di Stadium Sultan Ibrahim malam ini.

Beliau berharap pasukan City Boys itu dapat membuat kejutan menewaskan JDT 2-0 seperti yang dilakar ketika Piala Malaysia 2021 di Stadium Bukit Jalil.

"Untuk final ini, jangkaan tidak terlalu tinggi tetapi kami sekeluarga harap KL City FC ada tuah dan dapat buat kejutan mengalahkan JDT 2-0,” katanya.

Pintu pagar Stadium Sultan Ibrahim dibuka kepada penyokong bermula 5 petang ini, sementara sepak mula perlawanan akhir dijadualkan pada 9 malam.

Tinjauan mendapati pihak polis dan marsyal stadium bersiap siaga mengawal keselamatan di sekitar stadium termasuk dalam memastikan lalu lintas berjalan lancar.

JDT menjuarai Piala FA pada tahun lepas dan 2016 dengan menewaskan masing-masing Terengganu FC 3-1 dan PKNS FC 2-1.

Ini merupakan final Piala FA pertama buat KL City FC selepas kali terakhir memenanginya pada 1999. - Bernama