Skuad terjun raih tempat ke-10, Bertrand pulang tanpa pingat

Iklan
Bertrand - Foto AFP

SKUAD terjun kebangsaan gagal menuai pingat di Kejohanan Akuatik Dunia 2023 di Fukuoka, Jepun, selepas Bertrand Rhodict Lises menduduki tempat ke-10 pada final 10 meter (m) platform lelaki.

Berdasarkan laman sesawang kejohanan worldaquatics.com, Bertrand yang menjadi atlet Malaysia pertama layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 secara merit susulan kejayaan mara ke final semalam, mengumpul 442.35 mata selepas enam terjunan.

Iklan
Iklan

Meskipun berada di posisi kedua terakhir, Bertrand masih boleh berbangga apabila berjaya tampil lebih cemerlang berbanding ketika bersaing dalam separuh akhir semalam.

Semalam, penerjun berusia 18 tahun itu memperoleh 420.70 mata dengan disiplin terjunan yang sama.

Iklan

Wakil Australia, Cassiel Rousseau memenangi pingat emas dengan keseluruhan 520.85 mata sementara dua atlet China, Lian Junjie dan Yang Hao masing-masing membawa pulang perak dan gangsa selepas meraih 512.35 mata dan 504.00 mata.

Sementara itu, Randal Willars Valdez dari Mexico yang berada di tempat keenam, mencipta terjunan terbaik saingan selepas meraih 104.55 mata pada terjunan terakhirnya manakala atlet tuan rumah Rikuto Tamai terpaksa menarik diri selepas terjunan pertama.

Iklan

Keputusan hari ini menyaksikan skuad terjun kebangsaan pulang dengan tangan kosong selepas sandaran utama Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri turut terkandas dalam acara masing-masing sebelum ini.

Pada edisi lepas di Budapest, Hungary Pandelela merangkul dua gangsa masing-masing dalam acara 10m platform wanita dan 10m platform seirama wanita bergandingan bersama Nur Dhabitah.

Sebagai rekod, Cheong Jun Hoong satu-satunya penerjun negara yang pernah merangkul gelaran juara dunia selepas mengungguli acara 10m platform wanita pada edisi 2017 di Budapest sebelum bersara awal Januari tahun lepas.

Selepas ini, tumpuan akan beralih kepada skuad renang negara yang akan beraksi di kejohanan sama bermula esok hingga 30 Julai ini.